Tempatan

Terus Bersolidariti Bersama Rakyat Palestin – KDYMM YDPA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 12 Disember 2023 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya terus bersolidariti bersama rakyat Palestin dan menghulurkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban dan penderitaan mereka.

Seri Paduka Baginda dalam titah turut menzahirkan rasa dukacita dan kesal terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menggunakan kuasa veto menolak Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) menggesa gencatan senjata antara rejim Zionis Israel dan Palestin, baru-baru ini.

“Tindakan Amerika Syarikat tersebut sekali gus menggagalkan usaha oleh UNSC mencari jalan penyelesaian konflik rejim Zionis Israel-Palestin yang sehingga kini telah mengorbankan lebih 17,000 rakyat Palestin, yang mana kira-kira 70 peratus melibatkan kanak-kanak dan kaum wanita dengan lebih 48,000 yang lain cedera.

“Tindakan tersebut juga seolah-olah menghalalkan kekejaman rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dengan pembunuhan lebih ramai orang awam dan kemusnahan harta benda, fasiliti serta kemudahan perubatan di Gaza.”

Dalam titah, Seri Paduka Baginda menzahirkan sokongan kepada pendirian Kerajaan Malaysia, menerusi kenyataan YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Luar Negeri yang membantah dan mengecam tindakan veto Amerika Syarikat terhadap resolusi yang telah dikemukakan oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan disokong 102 negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama Baginda berdoa mengikut pegangan kepercayaan masing-masing agar konflik rejim Zionis Israel-Palestin itu dapat dihentikan dengan segera serta rakyat Palestin dapat dilindungi dan tanah air mereka dibebaskan daripada penjajahan dan penindasan rejim Zionis Israel.

Dalam masa yang sama, Seri Paduka Baginda juga turut menyeru masjid dan surau di negara ini serta rakyat yang beragama Islam di kediaman sendiri untuk terus mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah S.W.T. untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: