Tempatan

Kes Indira Gandhi: Hakim Tetapkan 4 Sept Pendengaran Kebenaran Mencelah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 03 Julai 2023 – Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Kamal Bin Md Shahid dalam sesi pengurusan kes Indira Gandhi lawan 8 negeri hari ini menetapkan tarikh 4 September 2023 sebagai tarikh pendengaran permohonan mencelah oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP).

Pengurusan kes yang berlangsung pagi tadi turut menetapkan tarikh yang sama sebagai tarikh pengurusan kes untuk lain-lain pihak yang terlibat di dalam kes ini.

Indira Gandhi, Mohan A/L Shanmugam, Arumugam A/L Doraisamy, Pertubuhan Hindu Agamam Ani Malaysia bersama sepuluh plaintif yang lain memfailkan saman pemula ke atas Kerajaan Negeri Perlis, Kedah Darul Aman, Melaka, Negeri Sembilan Darul Khusus, Pahang Darul Makmur, Perak Darul Ridzuan, Johor Darul Takzim dan Wilayah-Wilayah Persekutuan Malaysia.

Saman pemula yang dikemukakan antara lain memohon perintah-perintah supaya Mahkamah menurut Perkara 4(1) Perlembagaan Persekutuan menggunakan budi bicaranya untuk memberi deklarasi bahawa beberapa Enakmen Negeri yang membenarkan pertukaran kanak-kanak kepada agama Islam secara unilateral sebagai tidak sah kerana melanggar Perkara 12(4) menurut Perkara 75 Perlembagaan Persekutuan (“PP”) dan semua perkara berkenaan lain dalam Perlembagaan Persekutuan seperti yang ditafsirkan dalam keputusan kes Indira Gandhi a/p Mutho v Pengarah Jabatan Agama Islam Perak & Ors and other Appeals [2018] 1 MLJ 545 pada 29.01.2018 (“Keputusan Indira Gandhi”).

Saman yang sama turut memohon perintah supaya suatu deklarasi bahawa amalan penukaran agama secara unilateral adalah tidak berperlembagaan dan bertentangan dengan Perkara 12(4) PP.

Plaintif turut memohon dalam keadaan relif (i) dan/atau (ii) di atas diberikan, suatu deklarasi berbangkit bahawa mana-mana dan semua penukaran unilateral yang telah berlaku di Malaysia dari tarikh Keputusan Indira Gandhi adalah terbatal kerana melanggar Perkara 12(4) PP;

Alasan-alasan yang dikemukakan untuk permohonan tersebut bahawa di bawah Perkara 12(4) PP, agama seseorang individu di bawah umur lapan belas tahun hendaklah diputuskan oleh kedua-dua ibu bapa atau penjaganya. Ia merujuk keputusan kes Indira Gandhi, yang mana Mahkamah Persekutuan dalam kes tersebut telah memutuskan bahawa perkataan tunggal “ibu bapa” seperti yang digunakan dalam Perkara 12(4) PP hendaklah ditafsirkan dalam erti kata jamaknya berdasarkan perkara berikut:

(i) Mengikuti Panduan Tafsiran dalam Jadual Kesebelas Perlembagaan Persekutuan, perkataan tunggal “ibu bapa” hendaklah ditafsirkan dalam erti kata jamaknya, iaitu, “ibu dan bapa “; dan

(ii) Di mana kedua-dua ibu bapa individu bawah umur hidup, agama kanak-kanak itu hanya boleh ditentukan atau diubah dengan persetujuan kedua-dua ibu bapa.

Dengan Keputusan Indira Gandhi, sebarang penukaran kanak-kanak bawah umur kepada mana-mana agama secara unilateral tanpa kebenaran keduadua ibu bapanya adalah tidak berperlembagaan dan melanggar Perkara 12(4) PP.

Menurut saman pemula tersebut lagi, alasan saman dibuat kerana beberapa Kerajaan Negeri masih mengamalkan penukaran agama Islam secara unilateral kepada kanak-kanak melalui enakmen Negeri.

Pengurusan kes pagi tadi dibuat di hadapan Yang Arif Hakim Datuk Ahmad Kamal Bin Md Shahid.

Peguam bagi Plaintif diwakili N. Rajesvaran A/L K. Nagarajan & Lusinthra Pillai A/P Umadas manakala defendan-defendan diwakili oleh YB Tuan Mohd Radhi Abas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis (turut sebut bagi pihak Kerajaan Negeri Kedah, Melaka, Pahang dan Perak)

MAIWP diwakili oleh Dato’ Zainul Rijal Bin Abu Bakar dan Danial Farhan bin Zainul Rijal manakala Badan Peguam Syarie Wilayah Persekutuan (BPSWP) diwakili oleh Nini Shirma Binti Rahmat.

Permohonan Plaintif untuk Pahang dikeluarkan sebagai Defendan di dalam tindakan ini dibenarkan tanpa sebarang kos. Kerajaan Negeri Pahang tidak ada bantahan terhadap permohonan tersebut.

Plaintif turut memohon untuk membuang perkataan Darul Sunnah pada Kerajaan Negeri Perlis dan Darul Azim pada Kerajaan Negeri Melaka. Pindaan dibuat bagi membetulkan kesilapan Plaintif menamakan Kerajaan Kerajaan tersebut dengan perkataan Darul Sunnah dan Darul Azim. Hakim bertanyakan kepada pihak peguam plaintif dari mana rujukan dibuat untuk menamakan Kerajaan Negeri Perlis Darul Sunnah dan Kerajaan Negeri Melaka Darul Azim, dimaklumkan oleh peguam plaintif, rujukan diperolehi dari laman web. YB Tuan Mohd Radhi Abas mencelah dengan menjelaskan bahawa laman web rasmi Perlis dan Melaka tidak menamakan negeri mereka dengan nama yang dinamakan plaintif. Semua nama rujukan terhadap negeri mesti mengikut nama yang tercatat dalam Undang-Undang Tubuh Negeri masing-masing. Permohonan palintif dibenarkan tanpa sebarang kos.

Pihak Kerajaan Negeri Perlis dan Melaka tiada bantahan terhadap permohonan tersebut.

Bagi permohonan MAIWP dan BPSWP untuk mencelah akan diadakan pendengaran pada 4/9/2023 jam 9am menerusi Zoom. Pihak-pihak dikehendaki memfailkan hujahan pada atau sebelum 24/7/2023.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: