NGO

Kenaikan Harga Melampau Agenda Terancang Kartel Durjana, Kerajaan Jangan Tunduk – PERKASA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 02 Julai 2022 –“Keadaan harga barang naik melampau ini saya lihat ianya seperti dirancang. Ini adalah agenda rancangan kartel-kartel bahan makanan maka Kerajaan jangan tunduk dan jangan layan ugutan atau tuntutan mereka,” ujar Syed Hassan Syed Ali.

Menurutnya, mustahil sebuah kerajaan yang mempunyai kuasa penuh tidak berani mengambil tindakan tegas terhadap kartel-kartel durjana ini kecuali pihak berkuasa sudah ada dalam genggaman mereka.

“Nak seribu daya, tak nak seribu dalih. Mereka naik kepala pun sebab dibagi muka,” katanya.

Tegasnya, ada sesetengah kartel bertindak dengan sengaja mensabotaj Kerajaan yang sedang memerintah atas kemungkinan mereka menyokong pembangkang.

“Kerajaan jangan lembik dan lemah serta jangan tunduk kepada permainan mereka.”

Beliau berkata, masalah kenaikan harga barang memang tidak dapat dielakkan dari masa ke semasa tetapi bukanlah kekerapan kenaikan itu boleh dianggap biasa.

Menurut Setiausaha Agung PERKASA itu, kenaikan sedikit mengikut peredaran masa itu hanya boleh ditangani dengan usaha minima sahaja kerana untuk all out kekalkan harga, memang tidak akan berjaya.

“Namun, hanya sekiranya kenaikan harga barang keperluan itu mendadak naik tinggi dengan lebih kerap, itu saya rasa Kerajaan boleh halangnya berlaku.”

“Itu nampak kenaikan tidak normal. Ada pihak tertentu di belakang sengaja menaikkan dengan tujuan meraih keuntungan tinggi dan dalam masa sama mengambil kesempatan ingin mengenakan Kerajaan.”

“Mereka yang berani lakukan tindakan ini adalah kartel-kartel yang monopoli perniagaan barangan tertentu yang sudah pasti ada pengkhianat dan dalang di belakang mereka,” katanya.

Justeru, peranan pemimpin yang dipertanggungjawabkan menjaga hal ehwal pengguna adalah untuk bertindak bijak, tegas dan pantas. Pemimpin berkenaan perlu arahkan pegawai-pegawai kementeriannya memantau dari masa ke semasa. Kalau boleh setiap hari. Tumpukan kepada pasar-pasar besar dan pasaraya-pasaraya besar.

“Mini market atau kedai-kedai runcit yang agak mahal itu lumrah kerana mereka bukan beli dari pemborong. Mereka beli tidak dalam kuantiti yang banyak maka harga agak tinggi dan mereka terpaksa jual jauh lebih tinggi dari pasar basah atau pasaraya,” katanya.

Tambah beliau lagi, biasanya harga di ibu kota negeri-negeri lebih murah dari daerah-daerah. Maka, elok tumpukan harga di pasar basah dan pasaraya di bandar besar jika tidak cukup kakitangan penguatkuasa.

Namun, tegasnya, perkara yang perlu diubah ialah tidak perlu tunggu aduan dari pengguna untuk mula bertindak.

“Kita sedia maklum, rakyat miskin dan mengemis ini tidak kira masa termasuklah di negara maju pun. Cuma paras kemiskinan akan meningkat jika kenaikan harga begitu mendadak dan di luar kawalan.”

Jelasnya, bayangkanlah mereka yang menerima paras gaji minima yang sebelum ini masih boleh makan untuk sekeluarga dalam sebulan, akan membuatkan mereka terpaksa berhutang keliling pinggang kerana gaji sebelum ini cukup, sekarang tidak cukup pula.

Maka, nantinya Kerajaan terpaksa pula fikirkan paras gaji minima yang baru, yang akhirnya membuatkan pelabur bukan sahaja tidak datang, malah yang ada pun lari ke negara lain.

“Sudah tentu, ketika itu pendapatan negara berkurangan dan negara pula bertambah-tambah hutang. Besar kesannya bila harga bahan makan meningkat mendadak tidak dikawal dengan baik,” ujarnya.

Bila Sudah Naik Jangan Mimpi Harga Akan Turun Semula

Bagaimanapun, yang pasti bila sudah naik, jangan mimpi ianya turun balik ke harga asal dan kadang-kadang ini juga satu helah kartel iaitu meningkatkan harga syiling setinggi yang boleh, hanya kurangkan sedikit bila Kerajaan bertegas dan yang pasti rakyat yang akan terus merana.

Tambah beliau, rakyat mengharapkan, pemimpin-pemimpin terus cakna tentang isu harga barang. Mereka, pemimpin-pemimpin mungkin agak kurang terasa sebab gaji mereka boleh bawa keluarga makan di hotel setiap hari.

Jelas beliau, mahu ataupun tidak Kerajaan kena tumpukan beberapa barang keperluan asas untuk diberi subsidi. Barang-barang ini perlu subsidi kepada semua golongan masyarakat. Contohnya, minyak masak. Jangan hanya minyak paket disubsidi. Tengok apa berlaku, barangan ini sendiri kosong di mana-mana pasaraya dan apa lagi kedai runcit.

“Kerajaan perlu sedar, bukan sahaja golongan marhaen, B40 bahkan golongan pertengahan juga membeli minyak paket,” katanya.

Beliau berkata, pemborong-pemborong bukan Melayu akan utamakan edaran ke kedai-kedai runcit bangsanya. Sudah tentu, kedai runcit Bumiputera akan sunyi dari pelanggan tetap sebab kedainya tidak ada minyak paket. Sekali pelanggannya ke kedai runcit bukan Melayu, mereka akan beli barangan lain.

“Kita sedia tahu tidak banyak pengusaha minyak paket dari kalangan Bumiputera takkan kerajaan tidak tahu hal ini pula?” soalnya.

Apa Peranan Sebenar Agensi Kerajaan Yang Dipertanggungjawabkan?

Syed Hassan turut mengingatkan, dari isu minyak masak kita ada Felda dan FGV dua syarikat gergasi. Dalam isu ikan, kita ada LKIM dan NIKMAT. Dalam isu beras kita ada Bernas. Dalam isu hasil kebun kita ada FAMA. Dan lain-lain isu semuanya kita ada agensi tertentu bagi membantu mengawal bekalan dan harga.

“Tapi apa yang agensi-agensi itu buat? Untuk apa diwujudkan terus kalau tidak membantu kestabilan harga bahan makanan mentah? Kerajaan kena lihat kembali peranan agensi-agensi ini,” tegas beliau.

“Atau adakah telah wujud sebuah badan dan agensi-agensi kartel tanpa pengetahuan rakyat?”

“Sedarlah wahai pemimpin, jika segala macam isu yang menyusahkan rakyat berterusan berlaku dan tidak dapat ditangani dengan segera, saya percaya satu hari nanti gerakan besar-besaran perhimpunan dari semua lapisan masyarakat bagi menunjukkan rakyat sudah hilang sabar, pasti akan dilaksanakan juga,”ujarnya.

Tidak Menolak Besar Kemungkinan Kebangkitan Akan Berlaku

“Apatah lagi, jika ada pemimpin-pemimpin, mahupun menteri-menteri dan ahli-ahli keluarganya dilihat tetap berbelanja sakan, makan di tempat mewah beribu-ribu ringgit, berpakaian mahal-mahal ribuan ringgit, melancong dan bergembira dengan bahagia seolah-olah tidak ada apa yang sedang menghimpit rakyat ketika ini dan sebagainya.”

Walhal, dalam masa yang sama, rakyat sedang hidup melarat dalam keadaan yang sangat terhimpit, merana dan menderita dek kerana pemimpin-pemimpin ini tidak peduli akan kesukaran dan kesengsaraan yang sedang dihadapi rakyat hari ini.

Maka, sungguh, saya bimbang dan tidak menolak besar kemungkinan kebangkitan akan berlaku sedikit masa lagi jika keadaan ini terus dibiarkan berlarutan kerana para pemimpin perlu sedar bahawa rakyat tidak bodoh dan lemah bila mereka sudah mula bersatu atas nama kebangkitan rakyat menolak kekejaman, kezaliman dan ketidakadilan pemerintahan, ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: