Tempatan

Kalimah Allah: Kenyataan Anwar Ibrahim Salah – Haniff Khatri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 17 Mei 2023 – Kenyataan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berkaitan kes Jill Ireland adalah salah, tidak tepat dan khilaf jika dibandingkan dengan fakta kes dalam alasan penghakiman Mahkamah Tinggi, tegas Peguam Senior, Haniff Khatri Abdulla.

“Pada hari ini, Selasa 16.05.2023, MALAYSIAKINI bertajuk “Kalimah Allah: Keputusan kes Jill Ireland hanya terpakai di Sarawak – PM” telah memetik KENYATAAN Perdana Menteri DS ANWAR IBRAHIM berhubung isu penerikan balik Notis Rayuan Kerajaan Persekutuan terhadap Keputusan MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR bertarikh 10.03.2021, melalui pemfailan Notis Penarikan Balik Rayuan oleh Pejabat Peguam Negara pada 18.04.2023 yang lalu, seperti berikut,

“Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam kes penggunaan kalimah Allah melibatkan seorang penganut Kristian hanya terpakai di Sarawak.

Ini khusus dalam kes Sarawak, Sarawak tak terikat dengan keputusan-keputusan negeri (lain).

(Keputusan ini) tidak boleh terpakai di Melaka, Pulau Pinang, Selangor, ini khusus untuk kes Sarawak,” katanya yang juga Presiden PKR.

Anwar berkata demikian ketika diminta keputusan Kerajaan menarik balik rayuan dalam kes wanita itu yang bernama Jill Ireland itu” 

Kata beliau, kandungan laporan itu adalah tidak betul dan tidak tepat langsung jika dirujuk kepada alasan penghakiman Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kes ini bertarikh 17 Mac 2021 yang dikeluarkan secara bertulis selepas keputusan lisan pada 10 Mac 2021.

Beliau yang berkata menerusi sebuah video yang dimuat naik di Facebooknya berkata,

“Terdapat perenggan-perenggan lain pilihan lain dalam laporan itu yang tidak perlu saya sentuh di sini tetapi kenyataan Anwar Ibrahim berkaitan fahaman beliau berhubung kes ini adalah salah, tidak tepat, khilaf. Pertama sekali kalau dirujuk kepada penghakiman Mahkamah Tinggi ianya dengan jelas menyatakan permohonan pemohon yang dibenarkan oleh Mahkamah seperti yang terkandung di muka surat 95 Perenggan 206 penghakiman tersebut adalah berhubung dengan permohonan-permohonan di Perenggan (c), (d) dan (d)B permohonan Jill Ireland tersebut.

Dan kalau kita rujuk pula kepada muka surat 6 Perenggan 13 (c), kita akan tahu apakah dia permohonan Jill Ireland untuk Perenggan c yang dibenarkan oleh mahkamah.

Dan di muka surat 6 Perenggan (c), apa yang dipohon adalah dalam Bahasa Melayunya, saya menterjemahkan daripada penghakiman Bahasa Inggeris apa yang dipohon adalah, satu pengisytiharan bahawa berpandukan kepada Perkara 3, 8, 11 dan 12 Perlembagaan Persekutuan ianya adalah hak keperlembagaan pemohon untuk mengimport lapan cakera padat bagi tujuan melaksanakan hak beliau untuk mengamal dan mempelajari agamanya. Itu dibenarkan oleh Mahkamah Tinggi.

Perenggan d pula boleh diperolehi jika dilihat kepada muka surat 18 Perenggan 37 (b) penghakiman yang mengatakan Perenggan d satu deklarasi bahawa pemohon berserta dengan kesemua pribumi Bumiputera Kristian lain di Sabah dan Sarawak mempunyai hak keperlembagaan untuk mengamalkan agama Kristian secara bebas dan tanpa halangan termasuk dan tidak terhad kepada hak untuk menggunakan segala terminologi keagamaan di dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia dalam hal keadaan yang sama yang telah wujud di Sabah dan Sarawak sebelum ianya bergabung dengan Malaya untuk membentuk Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1963.

Itu adalah perintah yang diperolehi dan di (b) pula adalah satu pengisytiharan bahawa arahan Kerajaan yang dikeluarkan melalui Bahagian Kawalan Cetakan Kementerian Dalam Negeri yakni Pekeliling nombor S59/3/9/A/KIT2 bertarikh 5 Disember 1986 adalah tidak sah dan tidak berkeperlembagaan.

So kalau terlihat perintah Mahkamah adalah untuk membenarkan Jill Ireland dan kesemua yang lain pribumi Kristian dari Sabah dan Sarawak untuk mengamalkan agama Kristian dalam Bahasa Melayu dan Bahasa Indonesia seperti yang wujud sebelum kemasukan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu atau Malaysia 63. Tapi ini tidak bermakna bahawa hak ini cuma boleh diamalkan di Sabah dan Sarawak. Di situ yang Perdana Menteri Anwar Ibrahim khilaf, salah dan tidak tepat. Tidak ada perintah Mahkamah yang mengatakan mereka cuba beri mengamalkan ajaran agama mereka dalam hal itu cuma di Sarawak. Tidak ada.

Walhal fakta kes dalam kes ini menunjukkan bahawa Jill Ireland yang telah kembali dari Indonesia dan sampai di lapangan terbang KCCT pada masa itu di Sepang, Selangor, bukannya di Sarawak di mana lapan cakrea padat beliau yang mengandungi kalimah Allah telah dirampas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap agar kekhilafan berhubung fakta kes itu dapat diperbetulkan dalam minda dan fahaman Perdana Menteri di mana Sepang berada di dalam Selangor dan bukannya di Sarawak.

“Saya harap dan saya percaya bahawa kehilafan fahaman ini tidak sebenarnya mendorong Kerajaan untuk menarik balik rayuan. Sebab kalau inilah fahaman Kerajaan dan inilah yang menyebabkan mereka menarik balik rayuan maka tarikan balik rayuan tersebut adalah pada asas yang tidak wujud sama sekali.

Begitu juga perenggan (d)B yang diperintahkan di mana Mahkamah telah membatalkan arahan Kerajaan yang telah saya rujuk tadi iaitu bertarikh 5 Disember 1986 secara anehnya ianya adalah melibatkan asal-usulnya satu penetapan Kabinet atau Jemaah Menteri pada masa itu di mana satu jawatankuasa kecil telah ditubuhkan untuk mengkaji perkara ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, Tun Ghafar Baba dan dianggotai oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan James Ongkili. Apa yang Mahkamah dapati dalam penghakiman mereka di dalam penghakiman Yang Arif Hakim tersebut di muka surat 38 hingga 49 Perenggan-Perenggan 70 hingga 91, beliau dapati bahawa keputusan jawatankuasa kecil bertarikh 16 Mei 1986 yang telah diadaptasikan oleh Kabinet Pada 19 Mei 1986 dan dijadikan polisi Kerajaan melalui arahan tersebut pada 5 Disember 1986 tidak bermaksudkan untuk menghalang penggunaan keempat-empat perkataan secara khusus iaitu Allah, Kaabah, Baitullah dan solat secara mutlak.

Itu penemuan Mahkamah dan dia mengatakan bahawa perkataan-perkataan itu walaupun dikatakan tidak boleh dipakai di dalam surat jawatankuasa itu yang ditandatangani Tun Ghafar, ianya masih boleh digunakan dengan syarat di kulit luar yakni muka depan buku-buku itu ditulis “UNTUK AGAMA KRISTIAN”

Adakah Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu kerana Mahkamah Tinggi itu telah mentakrifkan pendapat atau maaf keputusan jawatankuasa kecil yang dianggotai beliau sebagai salah satu dari tiga orang sebagai disalahtakrif oleh Kerajaan pada masa itu.

Ini adalah untuk Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjawab.

Saya harap tidak ada kenyataan-kenyataan dikeluarkan oleh sesiapa sahaja sama ada Perdana Menteri mahupun Menteri mahupun ahli politikus lain dan tidak mematuhi fakta-fakta dan rentetan peristiwa seperti yang wujud di dalam alasan penghakiman Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi tersebut dan tidak akan mencelarukan rakyat dengan kenyataan-kenyataan yang tidak betul, tidak tepat dan khilaf,” kata beliau mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: