Tempatan

Permohonan Murtadkan Anak-Anak Loh Siew Hong Gagal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 11 Mei 2023 – Mahkamah Tinggi Wilayah Persekutuan hari ini menolak permohonan semakan kehakiman yang dibuat oleh Loh Siew Hong untuk membatalkan sijil dan status Islam ketiga-tiga anak beliau.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, dalam penghakiman kes tersebut, memutuskan bahawa ketiga-tiga anak Loh Siew Hong, memeluk Islam secara sah mengikut enakmen pentadbiran Islam Perlis, dengan afidavit Jabatan Agama Islam Perlis mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.

Hakim berpandangan, melalui keterangan yang ada di dalam afidavit yang dikemukakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis, Mohd Nazim Mohd Noor, apabila anak-anak ini telah kembali kepada ibu mereka selepas habeas corpus pada bulan Februari 2022, anak-anak ini telah mengesahkan melalui laporan surat khabar dan kepada penjaga rumah kebajikan, bahawa mereka dengan rela hati mengamalkan ajaran Islam, bersolat subuh dan salah seorang anaknya bercita-cita mahu menjadi peguam syarie walaupun di bawah jagaan ibu mereka.

Kesukarelaan anak-anak tersebut, pada masa sekarang, walaupun semasa berada bersama ibu mereka tidak disangkal oleh mereka secara sebaiknya melalui keterangan afidavit. Tiada bukti juga dikemukakan kepada mahkamah bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu atau Buddha dan Loh Siew Hong sendiri tidak pernah menafikan ketiga-tiga anak di bawah jagaannya masih mengamalkan ajaran Islam seperti bersolat semasa di bawah jagaannya.

Hakim turut menyatakan, bahawa walaupun sijil yang dikeluarkan oleh MAIPs mungkin tidak sah pada masa itu, tetapi mereka adalah beragama Islam di atas kerelaan mereka ini. Oleh kerana itu, sijil itu tidak perlu dan tidak boleh dibatalkan.

Perkara ini mengambilkira kes Dahlia Damia. Apa yang berlaku dalam kes tersebut, wanita tersebut diislamkan semasa beliau mualaf. Beliau kemudian memohon untuk keluar Islam melalui Mahkamah Syariah semasa berusia 20an. Mahkamah Syariah kemudiannya membuat penemuan bahawa, beliau telah membuat amalan-amalan, sembahyang dan berpuasa sebelum itu. Tindak tanduk sebagai Islam menentukan beliau adalah beragama Islam. Pada waktu beliau memeluk Islam, peruntukan memeluk Islam di negeri tersebut tidak dibenarkan untuk sesiapa yang bawah umur.

Pindaan cuma dibuat pada tahun 1990an, beberapa tahun selepas beliau memeluk Islam. Sijil pengislaman beliau kemudian dikeluarkan berdasarkan pada pengislaman yang dibuat lebih awal. Sijil yang dikeluarkan lewat masih boleh mengesahkan keislaman pihak berkenaan.

Dalam kes baru yang diputuskan dalam kes Rosliza, dan terutamanya dalam kes Dahlia Damia, kes-kes ini memberikan penekanan khusus lanjut tentang cara bagaimana penentuan anak-anak beragama Islam, mestilah mementingkan kebajikan anak-anak itu (welfare of the children).

Dalam keputusan hari ini, Mahkamah tidak membatalkan sijil pemelukan Islam ketiga-tiga anak Loh Siew Hong. Ketiga-tiga anak tersebut masih sah sebagai orang Islam walaupun mahkamah bersetuju bahawa mahkamah masih terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Gandhi.

Hujahan berkenaan kes Indira Gandhi terkhilaf disebabkan tidak menggunapakai Naskhah Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan yang sudah dilancarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 2003 turut dibangkitkan. Berkaitan isu tersebut, Hakim berpendapat, sepertimana yang diterima dalam kes Indira Gandhi, tidak wujud lagi teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan, sebab ia memerlukan lebih dari pengadaan majlis pelancaran. Tetapi persoalan apa itu yang dimaksudkan lebih, kenapa perlu lebih, tidak diberikan dalam alasan Dato’ Wan Ahmad Farid.

Isu berkaitan Indira Gandhi dan teks Bahasa Melayu, dalam erti kata lain, tidak dijawab sepertimana yang dihujahkan oleh pihak peguam MAIPs.

Perbicaraan dijalan secara atas talian. Semakan kehakiman ini difailkan Loh Siew Hong pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan Kerajaan Negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

MAIPs, sebagai salah satu responden diwakili oleh peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, Zainul Rijal Abu Bakar, Aidil Khalid, Muhammad Hariz Yusoff dan Danial Farhan.

Manakala Kerajaan Negeri Perlis, Dato’ Mohd Asri Zainul Abidin dan Pejabat Pendaftar Mualaf Perlis diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Negeri, YB Tuan Mohd Radhi bin Abas, Penasihat Undang-Undang Negeri Perlis.

Loh Siew Hong diwakili peguam A Srimurugan, Dr Shamsher Singh Thind, Gunamalar Joorindanjn dan Thian Yee Chin.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: