Antarabangsa

‘Perang’ Lubuk Scammer: Kemboja Bertindak Selepas Tekanan Antarabangsa

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KEMBOJA, 13 Oktober 2022 – Selepas menerima tekanan antarabangsa, Kemboja mula bertindak menyerbu lubuk-lubuk kumpulan siber global yang dikaitkan dengan penipuan haram atas talian dan aktiviti pemerdagangan manusia yang berlaku kebelakangan ini.

Lapor berita tempatan, pihak berkuasa Kemboja berjaya menemui satu industri penipuan haram besar yang telah berakar umbi di negara tersebut sekali gus menyerbu kawasan mereka dan membebaskan lebih seribu pekerja yang diperhambakan.

Menurut mangsa, sebahagian besar organisasi haram itu dikendalikan oleh warga China. Mereka memperhambakan pekerja dari negara-negara rantau Asia Tenggara selepas berjaya memikat atau menyeludup mangsa ke Kemboja dengan perjanjian pekerjaan bergaji lumayan.

Mangsa dipaksa melakukan penipuan atas talian termasuk penipuan percintaan atau skim mata wang kripto yang menyasarkan masyarakat global serta memperoleh wang ratusan juta dolar.

Sebelum ini, pihak berkuasa Kemboja menolak peningkatan jumlah laporan mengenai krisis pemerdagangan manusia, namun tekanan antarabangsa semakin meningkat termasuk apabila Amerika Syarikat (AS) menurunkan taraf Kemboja dalam laporan tahunan Pemerdagangan Manusia.

Duta AS ke Kemboja, Patrick Murphy berpendapat bahawa lebih banyak lagi yang perlu dilakukan. Katanya, “Bot tidak selamat, pemerdagangan, pusat penipuan, bangunan terbiar, limpahan kasino. Terdapat keperluan besar untuk tindakan yang meluas bagi menangani masalah di sini,” tulisnya di Twitter.

Ungkapan ‘bot tidak selamat’ oleh Patrick Murphy merujuk kepada sebuah bot nelayan kayu yang digunakan untuk menyeludup namun karam di pantai Kemboja 22 September lalu sekali gus mengakibatkan penemuan tiga mayat tetapi tujuh lagi hanyut dan satu masih dilaporkan hilang.

Selain itu, Vitit Muntarbhorn, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Kemboja menentang industri penipuan haram atas talian dan berkata bahawa mangsa melalui ‘neraka kehidupan’ yang sering menyebabkan penyiksaan dan kematian.

Jurucakap Kementerian Luar Vietnam juga memaklumkan lebih seribu warga Vietnam diselamatkan daripada pekerjaan haram di Kemboja, namun baru-baru ini, satu daripada 42 mangsa telah lemas dalam cubaan menyeberangi sungai ke wilayah An Giang di barat daya Vietnam.

Dalam pada itu, wakil dari Malaysia, Indonesia, Filipina dan India turut menggesa tindakan dilakukan dan memberi amaran kepada rakyat negara mereka tentang pekerjaan yang ditawarkan di Kemboja.

Perdana Menteri Kemboja, Hun Seng, bagaimanapun, mendakwa hanya ‘ratusan’ sahaja yang menjadi mangsa sebenar daripada ribuan warga asing yang dibawa ke negara tersebut. Dia turut percaya kira-kira 90% organisasi aktiviti haram itu telah menutup operasi mereka sendiri.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: