Tempatan

Parlimen Perlu Dibuka Secepat Mungkin – Agong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 16 Jun 2021 – Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi Kerajaan maka KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Demikian kenyataan media Istana Negara hari ini selepas berakhirnya Persidangan Khas Raja-Raja Melayu petang tadi.

“Seri Paduka Baginda amat menyedari tentang peranan Parlimen sebagai satu platform penting untuk wakil-wakil rakyat bersidang bagi membincangkan pelbagai isu khususnya berkaitan penularan wabak COVID-19.”

“Ahli-ahli Dewan Rakyat boleh berbincang berkenaan peruntukan perbelanjaan Kerajaan bagi membantu rakyat yang di dalam kesempitan dan bagi memulihkan semula ekonomi negara,” ujar Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan pandangan bahawa perlu adanya pentadbiran Kerajaan yang stabil dan kukuh serta berupaya berfungsi dengan efektif dalam menangani wabak COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara.”

Tambah beliau, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan harapan agar angka jangkitan wabak COVID-19 dapat dilandaikan dengan segera dan berpandangan vaksinasi merupakan satu-satunya “exit strategy” bagi mengawal penularan wabak COVID-19 di negara ini.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa Kerajaan perlu bertindak tegas memudahkan birokrasi dan mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat agar matlamat imuniti kelompok 80% (herd immunity) dapat dicapai seawal mungkin.”

Mengakhiri kenyataan, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, di kesempatan ini juga Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah menzahirkan setinggi penghargaan atas sokongan berterusan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang juga mencerminkan keprihatinan tinggi Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu terhadap kemaslahatan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: