Tempatan

KENYATAAN MEDIA MACSA : SERANGAN ISLAMOFOBIA KE ATAS UMAT ISLAM ADALAH JENAYAH KEBENCIAN

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

15 April 2021

MACSA mengutuk sekeras-kerasnya serangan ke atas dua pengawal keselamatan yang mendakwa mereka ditampar, dipukul dan diacukan pistol oleh majikan mereka yang bukan beragama Islam kerana berpuasa. Serangan tersebut wajar dikutuk oleh setiap orang yang cintakan keamanan kerana jenayah ini disemarakkan oleh sentimen Islamofobia.

MACSA menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk menghormati kedudukan Artikel 3 Perlembagaan Persekutuan yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak kebebasan beragama untuk semua rakyat Malaysia agar semua dapat beribadah mengikut agama masing-masing dengan aman dan harmoni. MACSA juga ingin mengingatkan tentang Artikel 8 Perlembagaan Persekutuan yang melarang diskriminasi berdasarkan agama.

MACSA memandang serius insiden Islamofobia di Malaysia yang meningkat mutakhir ini dalam pelbagai bentuk menzahirkan kebencian dan prejudis terhadap agama Islam dan Muslim. Sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang telah menerimapakai Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia atau Universal Declaration of Human Rights (UDHR), Malaysia harus akur kepada peruntukan tiada diskriminasi. Secara khususnya, artikel 18 UDHR menyatakan setiap orang mempunyai kebebasan berfikir, kesedaran dan beragama.

Di bawah Artikel 22 Deklarasi Hak Asasi Asean atau Asean Human Rights Declaration (AHRD), Malaysia juga harus komited menghapuskan sikap tanpa toleransi, diskriminasi dan hasutan berasaskan kebencian terhadap agama dan kepercayaan. Tambahan pula, sebagai penandatangan Deklarasi Hak Asasi Islam Kaherah atau Cairo Declaration of Human Rights in Islam (CDHRI) Malaysia juga harus akur kepada Artikel 10 yang melarang tindakan memaksa atau mengeksploitasi sesiapa untuk menukar agama seseorang.

MACSA memuji tindakan pantas pasukan polis yang menggerakkan siasatan segera sehingga tertangkapnya 4 individu yang disyaki terlibat dalam serangan ke atas 2 pengawal keselamatan tersebut. Siasatan haruslah dijalankan secara telus dan keputusan siasatan harus dihebahkan kepada awam dari masa ke semasa.

MACSA buat kesekian kalinya menggesa agar satu pindaan menyeluruh dilakukan terhadap Akta Pekerjaan 1955 (Akta 265) bagi memastikan pekerja tidak didiskriminasikan atas dasar agama dan bangsa.

MACSA menuntut agar kerajaan dengan segera menangani isu Islamofobia dengan memberi takrifan dan menjadikan Islamofobia satu jenayah bagi melindungi dan membantu umat Islam di Malaysia yang mengalami tekanan dan menderita kerana kebencian dan prejudis sesetengah pihak terhadap Islam.

KENYATAAN BERSAMA:

LUKMAN SHERIFF ALIAS ialah Pengasas Malaysian Lawyers’ Circle (MLC) merangkap Pengerusi MACSA.

PROF MADYA DR. RAFIDAH HANIM MOKHTAR ialah Presiden, Perikatan Wanita Antarabangsa Untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) merangkap Pengerusi Bersama MACSA.

Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) adalah badan gabungan pertubuhan-pertubuhan sivil Malaysia yang diwujudkan bagi tujuan memantau dan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang isu-isu hak asasi manusia di Malaysia bagi tujuan Proses Semakan Berkala.

 

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: