Tempatan

Pengusaha Perlu Segera Pohon Premis Sementara Untuk Pelajar Duduki Peperiksaan – Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 19 Jun 2023 – “Permohonan untuk mendapatkan keizinan pelajar mengambil peperiksaan di premis yang diluluskan perlu dipohon segera kepada pihak majlis oleh pihak pengusaha sekolah yang terlibat,” ujar Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Beliau berkata demikian ketika ditanya bagaimana nasib pelajar di sekolah yang terbabit yang diarah tutup oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) kerana tidak ada premis untuk mengambil peperiksaan Ujian Penilaian Kelas KAFA (UPKK) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) tahun ini.

Menurutnya, pengusaha perlu bertindak segera agar pelajar yang akan ambil peperiksaan tetapi sekolah belum dapat kelulusan masih tetap boleh menduduki peperiksaan.

Jelasnya, pengusaha boleh memohon premis sekolah lain dan dewan-dewan PBT untuk mengambil peperiksaan agar pelajar yang berkenaan tidak tercicir disebabkan hal pentadbiran yang mungkin mengambil sedikit masa untuk diselesaikan.

Ditanya mengapa garis panduan oleh Bahagian Perancang Bandar PBT didakwa menyukarkan kelulusan penggunaan rumah kedai sebagai tempat pembelajaran termasuk menyukarkan proses kelulusan penggunaan bangunan, sehingga ada sekolah yang diarah ditutup dan disaman oleh pihak PBT, menurut Cikgu Azmi, syarat penggunaan bangunan untuk sekolah yang perlu memenuhi aspek suai guna bangunan sudah lama wujud.

Ditambah, berlaku insiden yang tidak diingini sebab aspek keselamatan (wiring, design bangunan, syarat bomba, pintu keselamatan, certificate of fitness (CF) seperti kebakaran beberapa tahun kebelakangan, menyebabkan penguatkuasaan peraturan diperketatkan,” jelasnya.

Persoalan mengenai ada di antara sekolah yang terbabit ini telah pun beroperasi di antara lima hingga lebih dua puluh tahun tetapi mengapa sebelum ini mudah mendapat kelulusan sebaliknya sekarang tidak?

Cikgu Azmi berkata, mungkin banyak yang belum mendapat kelulusan tetapi terus beroperasi. Bila disemak, Majlis Agama tidak beri kelulusan rasmi walaupun sekolah telah beroperasi sepenuhnya.

Jelas beliau, ada beberapa faktor keselamatan yang menyebabkan prosedur kelulusan yang diberikan agak ketat.

Tambahnya, peranan mendidik diperakui tetapi tanggungjawab aspek kesesuaian bangunan dan peraturan tetap perlu dipatuhi. Insiden kemalangan kerana faktor keselamatan tidak dipatuhi juga adalah tanggungjawab pengusaha.

Dari satu sudut, wajar menggunakan pelbagai akta dan syarat yang sukar kepada pengusaha sekolah dengan mengambil kira faktor keselamatan dan nyawa pelajar dan sebagainya jika berlaku sebarang insiden ataupun kecelakaan yang tak diingini.

Ditanya, apa jalan penyelesaian terbaik dalam isu ini demi kebaikan dan kepentingan semua pihak yang terbabit khususnya masa depan pelajar?

Cikgu Azmi menggesa agar semua pengusaha bertanggungjawab mematuhi syarat yang ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan PBT.

Selain itu, suatu dialog dengan PBT dan Majlis Agama perlu diadakan untuk memahami proses kelulusan mengikut garis panduan sebenar yang telah ditetapkan.

Tambah beliau, pengusaha Maahad Agama dan Tahfiz perlu mengambil kira keselamatan dan keselesaan pelajar untuk belajar sebagai keutamaan.

Maka, peraturan dan akta yang berkaitan penubuhan sekolah hendaklah dibincang untuk mencari jalan bagaimana sekolah yang telah beroperasi memperbaiki keadaan agar dapat memenuhi syarat dan garis piawaian yang ditetapkan agar kesefahaman dapat dicapai dengan baik oleh semua pihak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: