Tempatan

Gangguan Air Di Besut Berlarutan Hingga 20 Januari

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA TERENGGANU, 03 Januari 2023 – Kira-kira hampir 13,000 pengguna di Bukit Keluang, Besut mengalami gangguan bekalan air sehingga 20 Januari depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, ia berikutan kerja-kerja pembaikan paip yang pecah di dasar Sungai Besut baru-baru ini dijangka siap dua minggu lagi.

Jelasnya, reka bentuk kerja-kerja pembaikan paip yang terletak berhampiran Jambatan Kampung Lampu berkenaan kini sedang disiapkan panel perunding Syarikat Air Terengganu (SATU).

“Kerja-kerja pembaikan tersebut akan menggunakan paip HDPE (high-density polyethylene) bersaiz 450 milimeter (mm) sepanjang 700 meter.”

“Kos pembaikan menelan belanja RM600,000. Ia sebenarnya penyelesaian jangka pendek bagi memulihkan gangguan air luar jangka yang sedang berlaku di kawasan Bukit Keluang tersebut,” katanya.

Sejak 01 Januari lalu, SATU mengeluarkan kenyataan media memberitahu gangguan bekalan air akan berlaku di 11 buah kampung yang melibatkan Tangki Air Bukit Keluang.

Menurut kenyataan berkenaan, sebanyak 6 buah lori tangki air dan 49 buah tangki statik ditempatkan di kawasan-kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: