NGO

Judi Naungan Politik: Basmi Dengan Pinda Akta & Kuat Kuasa Undang-Undang – Cikgu Azmi MAPIM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Kami memandang serius kenyataan Menteri KDN Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail kelmarin di Parlimen mengenai kemungkinan wujud naungan politik dalam industri judi di negara ini.

Malah Menteri menyatakan “Memang wujud elemen ‘naungan politik’, ada, dan dari situ datangnya perlindungan”.

Pendedahan Menteri tersebut bahawa Kerajaan tidak menolak wujud pembabitan orang politik yang melindungi aktiviti perjudian atas talian di negara ini, adalah serius.

Jika benar , implikasinya amat berat. Bukan sahaja negara ini akan terdedah kepada musibah judi yang merosakkan malah boleh menggejalakan jenayah dan menjejaskan keselamatan awam.

Judi perlu dikategorikan sebagai musuh negara. Judi berlesen betapa pun boleh mendatangkan pendapatan kepada negara namun kesan sosial dan keselamatan wang lebih tinggi harga yang terpaksa dibayar.

‘Naungan politik’ terhadap aktiviti perjudian itu bagi memastikan pihak terbabit tidak dapat dikenakan tindakan undang-undang dan ini menyukarkan tugas pihak polis untuk bertindak.

Kami berpendapat, inilah punca kenapa amalan perjudian tidak dapat dihakis di negara ini.

Kami mengutuk keras jika benar naungan politik melindungi judi beroperasi di negara ini. Pihak politik, sama ada individu mahupun parti yang terbabit, tidak boleh terlepas dari undang-undang dan jika terbukti terbabit hendaklah didakwa.

Naungan politik boleh menyebabkan pihak penyedia khidmat judi meraih keuntungan mudah berjuta ringgit. Dengan itu sindiket perjudian haram bermaharajalela dan terlindung dari undang-undang.

Platform perjudian dalam talian boleh mengaut keuntungan sekitar RM200 juta seminggu mengikut Menteri. Ini membuktikan industri judi masih mudah menarik pelanggan di negara ini.

Kami menegaskan, ‘naungan politik’ perlu dibanteras tanpa kompromi.

Kami mencadangkan kempen gejala judi yang merosakkan masyarakat perlu dilancarkan secara besar-besaran. Masyarakat awam perlu sedar industri judi memberi implikasi buruk kepada sosial dan ekonomi keluarga, masyarakat dan negara .

Sementara itu Akta Judi Rumah Terbuka 1953 hendaklah disemak sama ada perlu dipinda atau diwujudkan akta yang lebih tegas. Dengan kewujudan judi atas talian, akta yang terlalu usang perlu disemak semula untuk memungkinkan industri judi dibanteras sehingga ke akar umbi.

Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: