Tempatan

HIV: Purata Lapan Orang Dijangkiti Sehari Di Malaysia – Menteri Kesihatan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 27 November 2023 – Lapan orang dijangkiti Human Immunodeficiency Virus (HIV) sehari secara purata di Malaysia, menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.

Menurut beliau, kekerapan berterusan bagi jangkitan baharu boleh menjejaskan matlamat negara untuk menamatkan HIV atau AIDS menjelang 2030.

Dr Zaliha menjelaskan, secara amnya Malaysia telah berjaya menurunkan jangkitan baharu sehingga 50 peratus antara 2000 dan 2009. Namun mulai 2010 dan ketika ini, kadar penurunan jangkitan semakin perlahan kepada 24 peratus antara 2010 dan 2022.

“Secara purata, sejumlah 3,000 kes baharu HIV dilaporkan setiap tahun dan ini merupakan ancaman kepada kemampuan Malaysia untuk mencapai komitmennya dalam menamatkan HIV/AIDS menjelang 2030,” jelas beliau.

Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab kepada Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) di Dewan Rakyat, hari ini berhubung persoalan sama ada jangkitan HIV masih menular di dalam negara dan apakah langkah terkini untuk membendung jangkitan itu daripada menular.

Mengenai wabak HIV, Dr Zaliha memperincikan bahawa risiko utama jangkitan adalah melalui perkongsian jarum hipodermik dalam kalangan penagih dadah. Walau bagaimanapun, mulai 2011, penularan virus tersebut secara seksual telah menjadi risiko utama yang dilaporkan kepada kementerian.

Beliau berkata, pada 2022, sebanyak 60 peratus jangkitan HIV yang disebabkan oleh hubungan heteroseksual, homoseksual atau biseksual manakala 36 peratus melalui hubungan heteroseksual.

Tambah beliau, golongan muda yang berumur antara 20 dan 39 tahun merupakan penyumbang tertinggi kepada virus tersebut iaitu 77 peratus di mana lebih 90 peratus adalah lelaki.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: