Tempatan

Banjir 2021: Agong Dan Permaisuri Cemar Duli Santuni Mangsa Banjir Pahang

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUANTAN, 20 Disember 2021 – KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan mencemar duli berangkat melawat mangsa-mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Wisma Belia, PPS Dewan Paya Besar dan PPS SMK Sungai Isap, Kuantan, Pahang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda berdua disambut YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak.

Seri Paduka Baginda berdua telah berkenan meluangkan masa menyantuni dan beramah mesra bersama mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut.

Di kesempatan itu, Seri Paduka Baginda berdua turut berkenan mengurniakan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di tiga PPS tersebut dengan harapan ianya dapat mengurangkan beban yang ditanggung akibat musibah banjir susulan hujan lebat sejak beberapa hari lalu.

Turut berangkat, KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah dan YAM Tengku Panglima Raja Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.

Sewaktu di PPS Wisma Belia Kuantan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya ujian saringan COVID-19 dilakukan terhadap mangsa-mangsa banjir di semua PPS bagi memastikan tiada kluster baharu berlaku dan menasihati semua pihak yang berada di PPS mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di samping itu, Seri Paduka Baginda juga menitahkan pihak terlibat dengan operasi banjir agar tidak leka melaksanakan tanggungjawab membantu mangsa-mangsa banjir dan menasihati rakyat mematuhi semua nasihat serta arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan demi keselamatan diri dan keluarga tersayang.

Di akhir titah, Seri Paduka Baginda mengajak semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mendoakan situasi banjir dan cuaca buruk yang berlaku di Malaysia segera berakhir.

Menurut laporan berita, jumlah mangsa banjir di sembilan daerah di Pahang meningkat meningkat daripada 26,481 individu ke 31,052 mangsa, setakat jam 12 tengah hari tadi dengan Kuantan mencatatkan bilangan mangsa paling ramai dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: