Tempatan

Saman Vernakular: Masih Menunggu Alasan Penghakiman Penuh Disiapkan – Aidil Khalid

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 15 Jun 2022 – “Saya masih menunggu alasan penghakiman penuh disiapkan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu, susulan keputusannya baru-baru ini untuk menolak permohonan i-Guru untuk mengisytiharkan bahawa sekolah vernakular adalah tidak sah dan bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan,” ujar peguam, Aidil Khalid.

Menurutnya, “Selepas alasan penghakiman penuh siap nanti, dan saya dapat membacanya dengan teliti, barulah dapat untuk saya komen secara lebih rapi dan teliti,” ujar beliau ketika ditanya mengenai implikasi keputusan kes sekolah vernakular di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, saya juga telah berbincang dengan peguam kanan yang mewakili i-Guru dalam kes di Mahkamah Tinggi Kota Bharu tersebut iaitu Dato’ Shaharudin Ali.

Jelas beliau, ketika membuat keputusan tempoh hari, hakim ada membacakan alasan ringkas (bukan alasan penuh), di mana ada dua inti penting:

Pertama, Mahkamah Tinggi Kota Bharu tidak bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang sebelum ini memutuskan bahawa sekolah vernakular bukan “pihak berkuasa awam” di sisi undang-undang, dan oleh itu tidak terikat untuk menggunakan bahasa Kebangsaan dalam urusan pengajaran dan pembelajarannya.

Kedua, walaupun Mahkamah Tinggi Kota Bharu berpendapat sekolah vernakular adalah badan awam, tetapi kedudukannya dari sudut sejarah telah diiktiraf, dan oleh itu kewujudannya dibenarkan.

Berdasarkan keputusan ringkas ini, saya juga telah dimaklumkan bahawa i-Guru telahpun memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan pada 31/05/2022 yang lalu.

Justeru, antara inti utama yang akan menjadi persoalan di Mahkamah Rayuan nanti ialah, adakah sekolah vernakular merupakan “pihak berkuasa awam” di bawah Perkara 152 Perlembagaan, dan adakah proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah vernakular dianggap urusan rasmi?

Aidil berkata, Mahkamah Rayuan nanti akan perlu memutuskan, adakah dapatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini tepat (bahawa sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan oleh itu tidak terikat menggunakan bahasa Kebangsaan); ataukah keputusan oleh Mahkamah Tinggi Kota Bharu yang lebih tepat (bahawa sekolah vernakular adalah pihak berkuasa awam, tetapi kewujudannya diiktiraf dari sudut sejarah).

Beliau berkata, Mahkamah Rayuan juga boleh mempertimbangkan kemungkinan ketiga, iaitu menolak kedua-dua dapatan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan Mahkamah Tinggi Kota Bharu sebagai tidak tepat, dan Mahkamah Rayuan boleh membuat dapatannya sendiri, setelah meneliti segala hujahan dan dokumen rayuan kelak.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: