Tempatan

Mentega Terbang: JAKIM Dapati Terdapat Pertentangan Jelas Dengan Akidah – Menteri JPM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

1. Saya telah menerima pelbagai pandangan dan reaksi daripada masyarakat awam yang menyatakan kegusaran berhubung penayangan filem Mentega Terbang yang sedang hangat diperkatakan di media sosial. Saya amat memahami akan sensitiviti masyarakat Malaysia khususnya yang beragama Islam berhubung isu filem tersebut.

2. Saya telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk meneliti secara keseluruhan kandungan filem tersebut. Hasil penelitian JAKIM mendapati bahawa filem ini terdapat pertentangan yang jelas dengan akidah dan cara kehidupan umat Islam di Malaysia yang beraliran Mazhab Syafie.

3. Pihak JAKIM telah diminta untuk mengemukakan ulasan secara terperinci kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) agar tindakan dapat diambil berpandukan undang-undang sedia ada. Pihak Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) juga telah diminta untuk memanggil pihak-pihak yang terbabit dengan penerbitan filem ini untuk urusan selanjutnya.

4. Ingin ditegaskan, bahawa Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sama sekali tidak akan berkompromi dengan apa jua kandungan penerbitan yang boleh mencemarkan kesucian agama Islam lebih-lebih lagi yang boleh mengundang kontroversi dan keharmonian masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang agama, budaya dan cara hidup.

5. Saya juga ingin menasihatkan kepada penggiat seni kreatif agar lebih berhati-hati dalam menerbit dan menyiarkan bahan kandungan kepada masyarakat agar matlamat Kerajaan menuju Negara Madani akan tercapai.

6. Masyarakat awam juga dinasihatkan agar lebih berhati-hati dalam memilih rancangan TV untuk tontonan seisi keluarga sama ada di platform dalam talian mahupun mana-mana saluran agar tidak terdedah kepada unsur-unsur yang boleh menjejaskan akidah Islamiah.

Sekian, terima kasih.

DATO’ SETIA DR. HJ. MOHD NA’IM HJ. MOKHTAR
Menteri di Jabatan Perdana Menteri
(Hal Ehwal Agama)

Pautan Asal: FB JAKIM

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: