Tempatan

Jalan Raya Malaysia Uzur – Menteri

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 27 Februari 2024 – 3,821 kilometer daripada keseluruhan 14,918 kilometer panjang jalan Persekutuan menghampiri tempoh jangka hayat reka bentuk, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Menurutnya, jarak tersebut hampir menyamai lima kali perjalanan ulang-alik menggunakan jalan darat dari Johor Bahru ke Perlis.

“Dalam tempoh tiga tahun lalu, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah menerima sebanyak 10,825 aduan melibatkan jalan rosak dan berlubang.”

“Jumlah itu meningkat setiap tahun iaitu melibatkan 2,225 aduan diterima pada 2021 dan bertambah kepada 3,638 aduan (2022), manakala 4,962 aduan tahun lalu.”

Jelasnya, jalan raya uzur menyebabkan daya tahannya merosot sekaligus, menjadi faktor utama strukturnya mudah rosak dan berlubang.

Dalam pada itu, Alexander mengakui ada masanya tindakan lambat diambil oleh pihak berwajib yang mengendali jalan-jalan negeri dan PBT.

“Perkara ini terjadi kemungkinan disebabkan beberapa faktor seperti kekurangan dana untuk baik pulih, kekurangan tenaga kerja untuk turun ke kawasan yang dilaporkan disebabkan faktor jarak, lokasi dan sebagainya.”

“Menyedari situasi itu, MYJalan diwujudkan untuk menerima semua aduan berkaitan jalan dan infrastrukturnya tanpa mengira siapakah pemilik jalan tersebut dan aduan itu disaring dan dihantar kepada pihak berwajib yang mengendalikan laluan tersebut sekaligus memudahkan pihak kerajaan negeri dan PBT memantau kerosakan di kawasan kendalian masing-masing,” katanya.

Tegasnya, KKR sentiasa komited memastikan tindakan menampal lubang jalan di jalan Persekutuan diambil dalam tempoh 24 jam.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: