Tempatan

Bekas Penagih Dadah Terima Anugerah Kehormat USIM

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

NILAI, 24 November 2021 – “Allah tidak akan mengubah nasib suatu kaum hingga mereka mengubah nasib mereka sendiri.”

Firman Allah ini sememangnya tepat dengan kisah seorang bekas penagih dadah, Ramli Abd. Samad, 67.

Selepas pembelajarannya terkandas selama 30 tahun dan hanya mampu menamatkan pengajian di peringkat diploma, beliau insaf dan bangkit melanjutkan pelajaran sehingga dianugerahkan Ijazah Kehormat sempena Majlis Konvokesyen Ke-19 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

“Penglibatan saya di universiti sekadar Diploma Perancangan Bandar dan Desa di sebuah universiti tempatan namun disebabkan dadah, pembelajaran saya terkandas selama 30 tahun. Setelah insaf, atas usaha gigih saya bangkit semula menyambung pengajian sehingga ke peringkat Sarjana,” ujar beliau seperti dilaporkan dalam Sinar Harian.

Ramli yang juga merupakan Presiden Persatuan Pengasih Malaysia semalam menerima Anugerah Kehormat Sarjana Kaunseling (Penyalahgunaan Dadah) yang disampaikan oleh Canselor USIM, Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud pada majlis yang diadakan di Dewan Tuanku Canselor USIM, Nilai.

“Ini membuktikan bahawa bekas penagih juga boleh berubah dan mencapai kejayaan dalam kehidupan. Ini bukanlah satu anugerah mudah namun ia sebagai pengiktirafan saya telah memberi perkhidmatan lebih 30 tahun dan mula bergerak aktif dan pencegahan, pemulihan serta pencegahan lanjutan.”

Tambahnya lagi, kini beliau akan meneruskan perkhidmatan membantu penagih-penagih dadah untuk keluar daripada gejala tersebut.

“Saya mahu teruskan perkhidmatan saya, penagih dan pengguna dadah tidak seharusnya dilayan sebagai penjenayah kerana mereka merupakan pesakit yang perlu dibantu dan bukannya dihukum.”

Benarlah kata-kata bahawa, kita tidak boleh mengubah masa silam, tetapi kita boleh mengubah masa hadapan.

Tidak ada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tidak ada insan yang berdosa yang tidak mempunyai masa depan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: