Tempatan

Tambah Cuti Rehat Guru Kepada 14 Hari – NUTP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2022 – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan agar bilangan Cuti Rehat Khas Guru (CRK) ditambahkan daripada 10 hari ke 14 hari memandangkan jumlah maksimum pengumpulan Gantian Cuti Rehat (GCR) penjawat awam bagi gantian tunai meningkat dari 150 hari kepada 160 hari seperti yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri pada Belanjawan 2022, lapor media tempatan.

Ia sesuatu yang wajar dan bertepatan dengan masa kerana kali terakhir CRK disemak empat tahun lalu pada 2018, ia telah dinaikkan daripada tujuh hari kepada 10 hari, hasil usaha perjuangan Kongres Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (KONGRES) di bawah pimpinan Presidennya ketika itu, Datuk Mohamad Sabri bin Arshad.

Dalam pada itu, Presiden Guru, Mohd Azizee Hassan berkata, Kerajaan wajar mempertimbangkan cadangan tersebut untuk penjawat awam khususnya warga guru dengan mengambil kira beban tugas yang semakin mencabar dan rencam.

“Jumlah 10 hari CRK kini dilihat tidak mencukupi untuk guru memandangkan faktor keperluan kehidupan guru sekarang.”

“Pemberian CRK sebanyak 14 hari akan memudahkan para guru merancang untuk mengumpulkan award gantian tunai mereka pada masa hadapan yang rata-rata sebahagian mereka adalah guru-guru yang telah lama berkhidmat dan memilih untuk bersara awal,” katanya.

Mohd Azizee berpandangan, cabaran dunia pendidikan pada masa kini tidak sama dengan masa lalu khususnya era digitalisasi pendidikan yang memerlukan kecekapan dan kepantasan mengadaptasikan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran secara digital.

Kesan pandemik COVID-19 dan era digital menuntut guru mengakses kemahiran baharu kaedah Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) serta pelaporan secara maya. Ini sedikit sebanyak memberikan tekanan kepada warga guru serta mencabar emosi dan psikologi mereka.

Cadangan pemberian CRK sebanyak 14 hari ini akan memberi peluang kepada warga pendidik untuk memanfaatkan cuti dengan tujuan kesejahteraan emosi dan psikologi serta menguruskan hal-hal peribadi tanpa mengganggu emosi mereka.

“Guru-guru boleh menjadikan pemberian cuti ini sebagai terapi minda dan jiwa kesan kekangan tugas yang mencabar dan berat. Masa-masa ini dapat dimanfaatkan untuk urusan kekeluargaan, merapatkan kasih sayang dengan ahli keluarga, sekali gus membantu meningkatkan motivasi guru dalam kerjaya mereka.”

Walau bagaimanapun, jika Kerajaan mempertimbangkan cadangan ini, ia tidak bermakna para guru boleh menggunakannya dengan sewenangnya tetapi ia perlu dilaksanakan secara berhikmah tanpa memberi tekanan kepada mana-mana pihak.

Namun, ia juga bukan bermaksud guru culas dan malas dalam menunaikan tanggungjawab sebagai guru tetapi ia satu penghargaan atas jasa dan sumbangan guru yang telah berkorban mendidik anak bangsa.

Menurut Azizee, kini sudah tiba masanya pihak Kerajaan khususnya Jabatan Perkhidmatan Awam mempertimbangkan cadangan ini demi manfaat guru-guru serta kelestarian sistem pendidikan negara kita.

“Kesejahteraan sekolah terkait dengan kesejahteraan emosi dan psikologi guru-guru. Pemberian ini diharap dapat menterjemahkan semangat ‘Keluarga Malaysia’ yang sentiasa prihatin dan cakna kepada rakyatnya khususnya warga guru yang menjadi tunjang sekolah sejahtera,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: