Tempatan

Negara Perlukan Badan Pemantau Demi Perkaya Warisan Tekstil Tempatan – Permaisuri Agong

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 07 Mac 2022 – Persatuan Pencinta Tekstil Tradisional (CITRA) perlu mengambil peranan mengumpulkan pakar-pakar dalam industri bagi meningkatkan kualiti dan reka bentuk tekstil tempatan, agar produk yang dihasilkan berkualiti seterusnya menarik minat orang ramai di dalam dan di luar negara.

Demikian titah yang disampaikan oleh KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada Majlis Pelancaran CITRA di Kompleks Kraf Kuala Lumpur, 5 Mac baru-baru ini.

Titah ucapan perasmian Baginda dibacakan oleh Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Aishah Sultan Ahmad Shah, adinda kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, lapor The Star.

Tengku Puteri Seri Kemala Tengku Datuk Aishah Sultan Ahmad Shah mewakili Raja Permaisuri Agong yang tidak dapat hadir pada hari itu kerana kurang sihat.

Titah Baginda, negara memerlukan sebuah badan, untuk memantau semua yang terlibat dalam kraftangan termasuk karyawan, penenun, pereka, dan pemasar kain tradisional, demi memperkayakan warisan tekstil tempatan.

Usaha itu bertujuan memelihara dan memperkayakan warisan dan budaya tinggalan nenek moyang kita, untuk ditunjukkan kepada generasi muda masa kini dan akan datang.

“Penubuhan CITRA pada hari ini memang amat wajar sekali, kerana di negara lain telah lama mempunyai persatuan dan bergerak bersama-sama sebagai satu entiti,” titah baginda yang juga merupakan Penaung Diraja CITRA itu.

Tambah Tunku Azizah, “Kita lihat negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, yang membangun dan memajukan seni kraf mereka dengan berkongsi kemahiran antara satu sama lain. Saya amat terinspirasi dengan inisiatif seperti ini dan berharap Malaysia akan mengorak langkah sama.”

Dalam titah yang sama, Raja Permaisuri Agong turut memaklumkan, salah satu fokus Baginda adalah menghidupkan semula Tenun Pahang, yang kini dikenali sebagai Tenun Diraja Pahang dan dikenali sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Kami juga telah diundang ke London Crafts Week pada Mei akan datang, yang mana Tenun Diraja Pahang akan disertakan dalam koleksi istimewa pereka terkenal dunia, Dolce Gabbana dan Manolo Blahnik.”

CITRA yang merupakan cetusan idea bekas Pensyarah Tekstil Universiti Teknologi Mara (UiTM) Fatimah Ismail dan Allahyarham Profesor Sulaiman Ghani kini mempunyai kira-kira 200 ahli yang berdaftar.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: