Tempatan

Pemimpin Kristian Perlu Ikhlas Jika Mahu Selesaikan Isu Salah Guna Nama Allah – Dr Wan Ahmad Fauzi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – “Pemimpin agama Kristian perlulah ikhlas dalam isu penggunaan kalimah Allah. Mereka bebas menggunakan istilah tuhan sebagai terjemahan kepada God untuk menikmati hak kebebasan beragama mereka. Ibadah mereka masih sah tanpa menggunakan kalimah Allah, kerana kalimah Maha Suci itu tidak eksklusif bagi nama tuhan mereka.”

Sebaliknya, orang Islam tiada pilihan selain berpegang bahawa Allah itu Maha Esa dan tidak mempunyai anak dan diperanakkan. Tindakan mensyirikkan Allah adalah satu perbuatan menghina Tuhan yang disembah oleh orang Islam, yang dianggap paling keji dan terlarang dalam ajaran Islam,” ujar Profesor Madya ISTAC-IIUM, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Justeru, adakah suatu yang boleh diiktiraf sebagai ‘constitutional right’ untuk menggunakan nama khas bagi Tuhan yang diimani oleh orang Islam, bagi maksud agama selain Islam dengan takrifan yang menghina agama sekali gus orang Islam juga?

Menurutnya, kalimah Allah bukanlah terjemahan Bahasa Melayu bagi ‘God’, sebaliknya kalimah Arab yang merujuk kepada nama khas Tuhan dalam ajaran Islam. Tegasnya, Allah adalah kalimah agama, bukanlah nama umum bagi tuhan dalam Bahasa Melayu.

Beliau yang juga Pengasas Jurisprudens Watan itu berkata, jika penganut agama selain Islam ingin menggunakan Bahasa Melayu dalam ibadat mereka, terjemahan perkataan ‘God’ ialah ‘tuhan’.

“Islam dan penganut agama Islam tidak menghalang hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain seperti termaktub dalam Perlembagaan. Mereka boleh mengamalkan agama mereka secara aman selagi tidak mengganggu kedamaian dalam Persekukutuan,” katanya.

Jika sekiranya, penyelesaian seperti di atas tidak boleh diterima, maka kaedah terbaik untuk menguruskan isu sensitif tersebut ialah dialog antara tokoh agama Islam dan agama Kristian. Saranan ini adalah wajar kerana agama Islam mengakui Injil yang diturunkan kepada Nabi Isa (A.S) yang turut berkongsi banyak nama yang mempunyai persamaan identiti dengan para Rasul yang disebut dalam al-Qur’an.

Tambah beliau lagi, dialog tersebut bolehlah memberikan tumpuan khusus kepada sifat Allah SWT yang diimani oleh orang Islam dengan Tuhan yang termaktub dalam Kitab Injil.

Ujarnya, dialog tersebut perlu dilaksanakan secara harmoni dengan tujuan untuk memberikan pencerahan kepada penganut agama masing-masing tentang Tuhan yang disifatkan dalam kitab suci al-Qur’an dan Injil, atau Bible yang diakui sahih oleh penganut agama Kristian.

Hasil daripada dialog tersebut, bolehlah dijadikan sebagai pertimbangan kepada sebarang polisi hubungan antara penganut agama dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang peribadi orang Islam.

Justeru, pihak pimpinan agama Kristian khususnya yang menuntut penggunaan kalimah Allah dalam ajaran mereka harus bersifat terbuka untuk menyahut saranan ini, dan tidak mengenakan syarat untuk menafikan kehadiran mana-mana pakar perbandingan agama dalam dialog yang dimaksudkan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: