Banjir Jakarta: 3 Pelajar Madrasah Maut Ditimpa Tembok Runtuh
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JAKARTA, 07 Oktober 2022 – Tiga pelajar di Madrasah Tsanawiyah Negeri (MTsN) 19 Pondok Labu, Jakarta terkorban setelah tembok bangunan runtuh susulan banjir setinggi lebih daripada 50 sentimeter melanda kawasan tersebut, lapor sebuah agensi berita antarabangsa.
Menurut Ketua Badan Tindakan Bencana Daerah (BPBD) Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, Iswana Adji, ketiga-tiga mangsa meninggal dunia akibat ditimpa tembok sekolah sewaktu hujan lebat yang menyebabkan arus deras memasuki kawasan sekolah itu.
“Beberapa siswa yang sedang bermain di area taman sekolah tertimpa tembok yang roboh, kerana tidak tertahan dengan arus air yang deras,” katanya.
Dalam laporan yang sama, sebelum kejadian berkenaan, pelajar-pelajar sekolah itu sedang menyelamatkan diri setelah air banjir memasuki kawasan sekolah dengan deras. Air banjir itu dipercayai mencapai ketinggian 50-60 sentimeter atau setinggi pinggang pelajar.
Bagaimanapun, Iswana mengatakan bahawa mangsa yang terkorban telah pun dibawa ke Hospital Pilkasih untuk tindakan susulan.
Menerusi sebuah rakaman video yang tular sekitar semalam, mangsa terkorban ditimpa oleh tembok tersebut yang runtuh sewaktu mereka berada di sekitarnya.
Heavy rains that lashed Jakarta today caused the walls at MTSN 19 Pondok Labu to collapse. Until now, it is reported that 3 people died due to being trapped and have been rushed to the nearest hospital.pic.twitter.com/dF9PJs5Qw9
— Haluan Media (@haluandotco) October 6, 2022
Susulan kejadian itu, pengguna-pengguna di aplikasi media sosial Twitter turut menyatakan kesugulan mereka di mana ada antara mereka yang mengucapkan takziah di atas kejadian tersebut.
“Kali ini awal Oktober benar-benar hitam. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un turut berduka cita atas musibah yang menimpa MTSN 19 Jakarta Pondok Labu,” kata seorang pengguna dengan nama @lookadot.
“Kepanikan setelah tembok sekolah MTsN 19 Jakarta roboh dan menimpa siswa. Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un… Semoga korban meninggal husnul khotimah… aamin YRA,” kata seorang lagi pengguna Twitter dengan nama @Kahiyank.