Terkini

Feri Terkandas Lagi, 511 Penumpang Tersangkut

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA KEDAH, 24 Februari 2023 – Feri Express Bahagia 168 yang membawa 511 penumpang terkandas pada jam 9.15 malam tadi sewaktu dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Kedah.

Menurut laporan, feri tersebut terkandas pada kedudukan posisi 0.8 batu nautika dari muara Kuala Kedah berikutan paras air laut yang surut sehingga menyebabkan feri tersangkut di kawasan beting lumpur.

BACA JUGA: Kem Terendak Tiada Air, Terdedah Hakisan Pantai

BACA JUGA: SPRM Bukan Alat Politik – Azam Baki

BACA JUGA: Beberapa Jalan Di Kuantan Ditutup Esok

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak dalam sebuah kenyataan berkata, Pihak Operasi Zon Maritim menghantar bantuan aset ke lokasi berkenaan dalam kadar segera sejurus menerima panggilan daripada Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi tujuan penyelamatan.

“Bot PERKASA 1224 kemudian diatur gerak ke lokasi kejadian sejurus menerima aduan dalam usaha menjaga keselamatan dan membantu pihak feri serta JLM.”

“Feri berkenaan berjaya ditunda balik oleh bot penunda (tug boat) milik sebuah syarikat kargo di Kuala Kedah dengan diiringi oleh bot PERKASA 1224 pada jam 11.15 malam tadi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, operasi tersebut selesai pada jam 12 tengah malam tadi atas kendalian Maritim Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi.

Operasi itu turut melibatkan beberapa agensi termasuklah JLM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kesihatan Malaysia (KKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Insiden feri terkandas ini merupakan kali yang ketiga di mana insiden pertama berlaku pada 23 Oktober tahun lalu apabila 547 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi tersangkut susulan daripada feri yang terkandas berhampiran jeti Kuala Kedah sekitar jam 4 petang.

Manakala dalam kejadian kedua pula pada 28 Oktober tahun lalu sekitar jam 4 petang, sebuah feri dari Kuala Kedah ke Langkawi yang membawa 113 penumpang terkandas berhampiran jeti Kuala Kedah.

Sehubungan itu, pihak Maritim Malaysia mengalu-alukan anggota masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat serta aduan jika berlakunya insiden kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579 atau MERS 999 bagi mendapatkan maklum balas segera.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: