Antarabangsa

Lebih 100 Tapak Sejarah Islam Madinah Diubah Suai

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RIYADH, 25 Oktober 2022 – Lebih 100 tapak sejarah Islam di Madinah yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW dan Islam sedang menjalani projek pengubahsuaian, lapor berita Saudi.

Putera Faisal bin Salman, emir Madinah dan juga pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah telah melancarkan projek tersebut dengan kehadiran Menteri Haji dan Umrah (MOHU), Dr Tawfiq Al-Rabiah dan Timbalan Menteri Kebudayaan, Hamed Fayez.

Tanggungjawab mengikuti perkembangan persiapan projek berkenaan diberi kepada Pejabat Pembangunan Destinasi Pelancong di bawah Lembaga Kemajuan Wilayah dalam tempoh diluluskan iaitu sehingga 2025.

Sehubungan itu, Putera Faisal telah merasmikan lapan tapak pembangunan yang sudah selesai diubah suai termasuk Masjid Abu Bakar Siddiq, Masjid Umar bin Khattab, Masjid Al-Ghamama, Masjid Al-Soqya, Masjid Al-Raya, Masjid Bani Anif, Benteng Urwa bin Al-Zubayr dan juga telaga Gharas.

Dalam majlis yang sama, beliau juga menyaksikan majlis menandatangani kontrak, perjanjian dan memorandum persefahaman antara Lembaga Kemajuan Wilayah dan beberapa agensi kerajaan dan swasta untuk menghidupkan serta membangunkan tapak bersejarah di rantau itu.

Antara kawasan lain yang bakal diubah suai adalah Dataran Sayed Al-Shuhada di Lembah Uhud, Saqifa Bani Saad (barat Masjid Nabawi), tapak Khandaq, telaga Othman bin Affan dan pembangunan Masjid Qiblatain serta kawasan sekitarnya.

Datuk Bandar Madinah, Eng. Fahd Al-Bolaihashi turut memaklumkan mengenai rancangan pembangunan kawasan yang meliputi lebih daripada 40 tapak bersejarah terutamanya kejiranan Badar. Ia terbentang luas sejauh 175 kilometer bermula dari Madinah melalui Masjid Al-Areesh dan kawasan Al-Rawhaa serta beberapa kawasan yang dikaitkan dengan peristiwa terpenting dalam biografi Rasulullah SAW di wilayah Badar.

Mengulas lanjut, Putera Faisal memuji prestasi dan tahap penyelarasan antara agensi kerajaan itu bagi merealisasikan objektif projek pembangunan tapak bersejarah.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: