Tempatan

Permulaan Titik Hitam Dalam Perundangan Jenayah Syariah Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – “Saya mulakan kenyataan saya dengan menyatakan bahawa, penghakiman yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada pagi ini (semalam) adalah satu titik hitam kepada perundangan jenayah syariah di dalam negara kita.”

Ini merupakan kenyataan pembuka Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, Timbalan Pengerusi PEMBELA dalam sidang media hari ini susulan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa hukum liwat di bawah Enakmen Syariah adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan.

“Kenapa saya katakan ia adalah permulaan titik hitam kepada perundangan Jenayah Syariah di Malaysia ini, kerana pada hari ini, Seksyen 28 (Enakmen 28 Kesalahan-kesalahan Jenayah Syariah (Selangor) 1995) mengenai liwat itu diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah.”

Katanya, keputusan ini dilihat sebagai membuka ruang kepada peruntukan-peruntukan lain dalam Enakmen Syariah untuk dicabar. Hal ini kerana terdapat peruntukan-peruntukan mengenai kesalahan berhubungan dengan akidah, kesalahan berhubungan dengan kesucian agama Islam, kesalahan berhubungan dengan tatasusila dan juga kesalahan-kesalahan lain yang pelbagai di bawah Enakmen Jenayah Syariah.

Tambah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu, Mahkamah Persekutuan dalam penghakiman semalam menafsirkan, di dalam Jadual Kesembilan Senarai I, Senarai Persekutuan, mengenai perkataan “crime” ataupun “criminal law”.

Criminal itu disifatkan sebagai jenayah dan ia dipisahkan daripada apa yang ada di dalam Jadual Kesembilan Senarai II Butiran 1 yang menyebut tentang Offences Against the Religion of Islam. Kesalahan-kesalahan yang melanggar perintah agama Islam.

“Jadi, penghakiman tadi (semalam) mengatakan bahawa liwat adalah termasuk di dalam crime. Dia bukan Offences Against the Religion of Islam. Ini yang menjadi masalahnya sebab kita ada lagi kesalahan-kesalahan yang lain seperti berzina, kesalahan moral yang lain: qazaf dan sebagainya, ia adalah satu kesalahan. Adakah ia merupakan kesalahan melanggar perintah agama Islam ataupun kesalahan yang bersifat jenayah. Akan datang, akan ada cabaran-cabaran yang lain yang akan melihat kepada kes ini sebagai authority mereka untuk mendapatkan peruntukan-peruntukan lain juga diisytiharkan sebagai tidak sah.”

Ulas Datuk Zainul Rijal, kesalahan melanggar perintah agama Islam sebelum daripada ini pernah dihujahkan di Mahkamah Persekutuan di mana kesalahan-kesalahan melanggar agama Islam itu tidak hanya tertakluk kepada lima rukun agama Islam sahaja, tetapi juga semua perintah dalam agama Islam.

Offences Against the Religion of Islam itu hanya sekadar kesalahan-kesalahan melanggar rukun agama Islam. Tetapi Mahkamah Persekutuan telah meluaskan tafsiran tersebut kepada kesalahan-kesalahan melanggar perintah agama Islam. Jadi ia tidak restricted kepada lima rukun agama Islam sahaja, tetapi apa-apa perintah agama Islam.”

“Persoalannya kini, adakah melakukan liwat itu melanggar perintah agama Islam ataupun tidak? Bagi orang Islam, ya. Ia adalah satu kesalahan melanggar perintah agama Islam. Jadi ia seharusnya terjumlah di dalam Jadual Sembilan Senarai II Butiran 1 ataupun Item 1, iaitu di dalam Offences Against the Religion of Islam.”

“Tetapi, Mahkamah Persekutuan tidak berpandangan sebegitu. Itu yang menjadi masalah kepada kita dan ia membuka ruang kepada cabaran-cabaran seterusnya kepada peruntukan perundangan Jenayah Syariah,” ujarnya.

Mengakhiri kenyataan, Datuk Zainul Rijal berkata, penghakiman Mahkamah Persekutuan bahawa kesalahan seks luar tabii di bawah Undang-Undang Syariah adalah tidak sah dan terbatal telah mengenepikan sepenuhnya elemen-elemen sejarah perundangan di Malaysia.

“Saya melihat kepada penghakiman ini telah mengenepikan sepenuhnya elemen-elemen sejarah perundangan di Malaysia. Sejak 1926, kalau kita lihat kepada penghakiman-penghakiman yang ada di Mahkamah Sivil 1926, di dalam kes Rahmah vs Laton mengatakan, undang-undang Islam adalah undang-undang tanah air kita.”

“Tetapi dalam penghakiman ini mengatakan bahawa, Penal Code ataupun Kanun Keseksaan itu lebih dahulu daripada Undang-Undang Jenayah Syariah. Sedangkan kita tahu bahawa Undang-Undang Syariah telah diaplikasikan sebelum merdeka lagi.”

“Jadi adalah tidak betul kita katakan bahawa, undang-undang ataupun Kanun Keseksaan itu lebih dahulu daripada Undang-Undang Jenayah Syariah. Cuma dari sudut kodifikasi undang-undang itu berbeza. Sebelum penjajahan, mungkin pattern ataupun cara formaliti undang-undang itu dikanunkan adalah berbeza daripada apa yang dibawa oleh pihak British. Itu satu perkara yang kita perlu lihat,” tegasnya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: