Tempatan

Malaysia Bekal Thailand Daun Dan Pokok Ketum – KJ

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2022 – Menteri Kesihatan Malaysia, Khairy Jamaluddin dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa beliau telah meminta rakan sejawatannya Anutin Charnvirakul di Bangkok untuk mengkaji kemungkinan Malaysia membekalkan Thailand dengan daun dan pokok ketum mentah, lapor media tempatan.

Beliau juga berharap Malaysia dan Thailand akan terus saling bertukar pengetahuan teknikal dan penyelidikan klinikal untuk memastikan keselamatan serta keberkesanan produk kanabis itu dalam perubatan.

“Pegawai kami (Malaysia dan Thailand) masih meneruskan pertukaran maklumat teknikal supaya kami lebih memahami bukti klinikal penggunaan kanabis untuk tujuan perubatan serta kerangka kerja pengawalseliaan baharu,” katanya yang sedang mengadakan lawatan kerja selama empat hari atas undangan Anutin Charnvirakul.

Khairy Jamaluddin sebelum ini pernah melawat Pertubuhan Farmaseutikal Kerajaan (GPO) dan diberi taklimat mengenai dasar perubatan kanabis di Thailand termasuk amalan, kaedah penanaman dan penyelidikan serta penggunaan kanabis dan ketum untuk tujuan kesihatan.

Dalam pada itu, beliau dan Anutin turut berbincang mengenai potensi dan peluang Thailand membekalkan Malaysia produk kanabis melalui GPO untuk tujuan penyelidikan klinikal bagi keselamatan dan keberkesanan penggunaan produk kanabis

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada Malaysia bercadang untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan, Menteri Kesihatan itu memaklumkan, “Jika terdapat bukti klinikal yang membolehkannya.”

Antara ilmu penting yang diperoleh daripada pengalaman di Thailand ialah mengenai data klinikal dan data yang dikumpul sejak penggunaan kanabis untuk perubatan.

“Sekiranya kami berpuas hati dengan data itu, pasti akan mempengaruhi kami untuk membenarkan penggunaan kanabis bagi tujuan perubatan,” katanya.

Pada 9 Jun lalu, Thailand telah menjadi negara Asia Tenggara pertama yang membenarkan penanaman dan pemilikan kanabis untuk perubatan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: