Tempatan

Agong Sambut Baik Program Pemerkasaan Komuniti COVID-19

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Telegram, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 29 Mac 2021 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik usaha kerajaan memerangi COVID-19 melalui Program Pemerkasaan Komuniti COVID-19.

Baginda justeru menitahkan agar semua rakyat berganding bahu melawan pandemik ini.

“Pada hemat beta, usaha melawan pandemik ini wajar digalas menerusi kerjasama dari semua pihak termasuk kerjasama antara kerajaan beta dengan rakyat. Dan juga melalui semangat setiakawan yang erat dari seluruh rakyat Malaysia. Justeru, beta menyambut baik usaha kerajaan beta dalam merangka Program Pemerkasaan Komuniti.”

Tambah Seri Paduka Baginda, seluruh lapisan rakyat dan pemimpin komuniti boleh melibatkan diri dalam mengurangkan dan mencegah kes COVID-19 melalui beberapa inisiatif yang digerakkan kerajaan seperti Program Agent Basmi COVID-19 (ABC-19).

Program Agent Basmi COVID-19 (ABC-19) diperkenalkan melalui pendekatan ‘Whole-of-Society’ yang digerakkan oleh agensi kerajaan, kepimpinan komuniti dan sukarelawan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara.

“Inisiatif yang dikenali sebagai ejen rasmi COVID-19 ataupun ABC-19 bakal menyaksikan penglibatan pelbagai entiti untuk bergabung tenaga dalam memperkasakan komuniti,” titah baginda.

Dalam titah diraja yang disampaikan secara siaran langsung hari ini, Seri Paduka Baginda juga menzahirkan kesyukuran yang tidak terhingga di atas usaha gigih kerajaan membawa vaksin yang bakal berupaya melindungi rakyat daripada bahaya COVID-19.

Di akhir titah, Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyeru semua rakyat untuk bersama-sama menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Beta menyeru kepada sekalian rakyat Malaysia untuk bersama berganding bahu menunaikan tanggungjawab melindungi diri dan masyarakat menerusi Program Vaksinasi Kebangsaan.”

“Beta menaruh sepenuh keyakinan berbekalkan ikhtiar serta usaha kita semua menerusi Program Pemerkasaan Komuniti dan Program Vaksinasi Kebangsaan akan membolehkan kita bangkit semula bersama seiring dan sehaluan membina masa hadapan yang lebih gemilang buat negara yang kita cintai.”

“Marilah kita bersama-sama meneruskan agenda memerangi COVID-19 dan menunaikan kewajipan untuk melindungi negara tanah tumpahnya darah kita,” titah Seri Paduka Baginda.

Dalam perkembangan lain, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan bahawa fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 19 April ini di mana keutamaan akan diberikan kepada warga emas.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan itu juga menyatakan bahawa kerajaan masih mempertimbangkan kemungkinan penetapan tarikh akhir pendaftaran untuk mendapatkan vaksin melalui Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: