Tempatan

Usaha Mengangkat Teks Sahih Bahasa Melayu Memerlukan Komitmen Perdana Menteri – Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Hussain

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 05 Mei 2023 – “Usaha mengangkat teks Bahasa Melayu Perlembagaan Persekutuan sebagai teks sahih menurut Perkara 160B memerlukan komitmen Perdana Menteri dan Jemaah Menteri. Saya percaya usaha ini akan dijuarai oleh Perdana Menteri kesepuluh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim jika sekiranya ia belum dilaksanakan sebelum ini,” ujar Profesor Madya ISTAC-IIUM, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Menurutnya, Dato’ Seri Anwar sudah diketahui komitmen beliau kepada perjuangan untuk memartabatkan Bahasa Melayu. Isunya, adakah teks sahih tersebut belum ada, soal beliau.

Wan Ahmad Fauzi tidak melihat ada batu penghalang kerana terjemahan dalam Bahasa Melayu mengikut versi Pejabat Peguam Negara sudah ada malah menjadi rujukan umum pada hari ini.

Jika sekiranya proses menurut Perkara 160B belum disempurnakan, teks tersebut hanya perlu disemak sekali lagi bersama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka untuk memperkemaskan aspek tataBahasanya jika ada keperluan itu.

Jelasnya, proses tersebut tidak sukar kerana Yang di-Pertuan Agong dibenarkan oleh Perkara 160B untuk menetapkan teks sahih bagi Perlembagaan Persekutuan. Apa yang perlu dilakukan adalah, Jemaah Menteri perlu menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menyempurnakan kehendak Perkara 160B.

Beliau yang juga Pengasas Jurisprudens Watan itu berkata, jika sekiranya benar teks terjemahan yang dilancarkan itu sudah melalui proses nasihat oleh Jemaah Menteri, maka tiada sebab ia tidak diwartakan sebagai teks sahih Perlembagaan Persekutuan.

Teks tersebut hendaklah disiarkan dalam warta Kerajaan sebagai teks sahih agar tidak timbul sebarang pertikaian.

Tambah beliau lagi, Perkara 160B jelas memperuntukkan teks terjemahan dalam Bahasa Melayu akan menjadi teks sahih iaitu teks utama dan mengatasi teks Bahasa Inggeris, namun begitu prosesnya hendaklah berlaku mengikut kehendak undang-undang Perlembagaan. Dalam melaksanakan kuasa di bawah Perkara 160B, Yang di-Pertuan Agong bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri, atau menteri yang diberikan fungsi kuasa dalam urusan tersebut.

“Tidak semestinya keabsahan teks sahih Perlembagaan itu boleh dicabar semata-mata kerana ia belum disiarkan dalam warta Kerajaan jika sekiranya Yang di-Pertuan Agong sudah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri serta memperkenankannya. Ini adalah kerana proses tersebut bukanlah suatu penggubalan undang-undang. Ia adalah terjemahan yang menjadi teks sahih selaras dengan kehendak Perkara 152 Perlembagaan. Namun begitu, teks dalam Bahasa Kebangsaan yang telah diperkenankan oleh Baginda perlu disiarkan untuk mengelakkan kekeliruan. Jika dilihat siaran dalam warta Kerajaan juga mempunyai beberapa kategori seperti PU(A), PU(B) dan LN. Tidak semuanya berbentuk undang-undang.”

“Bagaimanapun, saya tidak pasti jika ada sebarang usaha untuk mengelakkan tarikh 29 September 2003 sebagai tarikh kuat kuasa teks sahih Perlembagaan Persekutuan mengikut Perkara 160B.”

“Apa yang saya boleh katakan, jika sekiranya teks sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Melayu sudah ada maka ia akan memberikan kesan yang cukup besar dan positif dalam pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan.”

Jelas beliau lagi, kita akan lihat pentafsiran undang-undang Perlembagaan Persekutuan lebih bersifat watan selaras dengan kehendak Seksyen 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 (semakan 1972). Rujukan istilah akan berlandaskan kamus Bahasa Melayu dan keadaan tempatan Malaysia, tidak lagi keadaan tempatan negara asing yang kadang kala bercanggah dengan prinsip undang-undang bertulis dan sedia ada di Malaysia.

Beliau berkata, Teks Sahih Perlembagaan Persekutuan dalam Bahasa Kebangsaan juga akan membawa kepada tafsiran undang-undang yang betul berlandaskan sumber undang-undang yang sah mengikut Perkara 160(2).

Ujarnya, ramai yang alpa bahawa undang-undang yang sah mengikut Perlembagaan Persekutuan ialah undang-undang bertulis iaitu termasuklah Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan mana-mana negeri, common law setakat yang berkuat kuasa mengikut syarat Akta Undang-Undang Sivil 1956 (Semakan 1972), dan apa-apa adat atau kelaziman yang mempunyai kuat kuasa undang-undang di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya. Takrifan ini membuka ruang kepada pemakaian undang-undang sedia ada mengikut Perkara 162.

Oleh kerana teks dalam Bahasa Inggeris Perlembagaan Persekutuan masih dianggap rasmi, maka rujukan kepada common law dan kaedah ekuiti di England dan komanwel selepas tarikh 7 April 1956 bagi Persekutuan Tanah Melayu, Sabah pada 1 Disember 1951 dan Sarawak pada 12 Disember 1948, masih dibuat untuk mentafsirkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sedangkan batasan waktu telah ditetapkan oleh Akta tersebut.

“Apa yang ingin saya tegaskan tentang undang-undang bertulis dan sedia ada sebelum Hari Persekutuan Tanah Melayu 1957, terdapat pentafsiran tentang prinsip kedaulatan Kerajaan Tanah Melayu yang membentuk Malaysia pada hari ini, iaitu berlandaskan patuh syariah,” katanya.

Menurut beliau, prinsip tersebut dapat dilihat daripada adat Melayu yang merupakan undang-undang bertulis di Tanah Melayu yang jelas menunjukkan amalan patuh syariah sebagai prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu.

Justeru, amalan untuk merujuk keputusan kes di England dan komanwel selepas 7 April 1956 untuk mentafsirkan undang-undang dan panduan kehakiman perlu dinilai semula oleh Ketua Hakim Negara dan Mahkamah Persekutuan.

Ringkasnya, jika teks sahih Perlembagaan Persekutuan Bahasa Melayu sudah ada, maka banyak isu perundangan dapat diharmonikan selaras dengan kaedah pentafsiran Perlembagaan yang betul.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: