Antarabangsa

Tahanan Palestin Teruskan Mogok Lapar Hampir Enam Bulan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

TEL AVIV, 28 Ogos 2022 – Khalil Awawdeh, tahanan Palestin di penjara rejim haram aparteid Israel meneruskan mogok laparnya selama hampir enam bulan sebagai protes terhadap pentadbiran penahanannya.

Menjelang bulan keenam mogok laparnya, berat badan Khalil hanyalah 38kg. Dr Lina Qasem, pakar perubatan hak asasi manusia juga mengatakan bahawa nyawa tahanan itu kritikal dan terdapat tanda-tanda kerosakan saraf, termasuk ingatan, kesukaran menumpukan perhatian serta hampir kehilangan penglihatan.

Lapor media Arab, pada 21 Ogos lalu, Mahkamah Agung Israel memutuskan untuk tidak membebaskan Khalil Awawdeh walaupun beliau tekad meneruskan mogok lapar.

Dalam pada itu, nama Khalil turut disebut dalam perjanjian gencatan senjata di Gaza setelah berakhirnya pencerobohan tentera rejim haram aparteid Israel terhadap Semenanjung Gaza awal bulan lalu.

“Saya mohon untuk dibebaskan selepas semua penderitaan ini. Kebebasan lebih berharga daripada segala-galanya, maruah melebihi segalanya. Kita adalah bangsa yang tidak akan dikalahkan. Insya Allah kita akan mendapat kemenangan,” ujar tahanan itu.

Warganet turut berkongsi satu rakaman video Khalil bersama anak-anak perempuannya di mana Khalil mengatakan, “Tidak ada yang lebih manis daripada anak-anak perempuan saya, belahan jiwa saya. Dan saya terpaksa demi mereka, negara saya, insan-insan yang saya sayang serta mereka yang bebas di seluruh dunia, saya mengorbankan tubuh saya. Jadi biarkan daging saya binasa, biarkan tubuh saya hilang untuk kebebasan dan keamanan.”

Isteri Khalil membuat rakaman tersebut ketika melawatnya di Hospital Assaf Harofeh yang terletak di tanah Palestin yang diduduki. Beliau telah dipindahkan ke hospital itu setelah keadaan kesihatannya semakin merosot.

“Suami saya berada dalam keadaan kesihatan yang sangat kritikal. Dia mengalami kesakitan di seluruh badan dan kemungkinan boleh hilang nyawa pada bila-bila masa sahaja,” luah isteri Khalil.

Terkini, pada Jumaat lalu, rejim haram aparteid Israel telah membekukan penahanan Khalil namun tidak bermakna penahanan dibatalkan sepenuhnya tanpa syarat seperti yang dituntut Khalil.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: