Tempatan

Hentikan Perlombongan Di Hutan Simpan Kekal – CAP

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PULAU PINANG, 15 November 2022 – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa semua Pihak Berkuasa Negeri supaya mengelak sebarang aktiviti perlombongan di kawasan hutan simpan kekal dan kawasan sensitif alam sekitar (KSAS).

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, semua kelulusan operasi perlombongan di kawasan-kawasan tersebut perlulah dipertimbangkan semula dan dibatalkan.

Gesaan dan pertimbangan tersebut adalah selari dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-70 pada 18 November 2014 yang telah memutuskan supaya semua negeri mengambil inisiatif untuk mengawal atau sebolehnya mengelakkan sebarang kelulusan aktiviti perlombongan dan pengkuarian di kawasan hutan simpan kekal dan KSAS.

Katanya, ketetapan yang dibuat MTN wajar dilaksanakan kerana aktiviti perlombongan dan pengkuarian di kawasan hutan simpan kekal secara langsung akan memberi kesan kepada pencapaian pengurusan hutan secara berkekalan yang menjadi teras dalam pengurusan hutan negara.

Berdasarkan Seksyen 2, Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313), sumber mineral berasaskan nadir bumi tidak ditakrifkan sebagai hasil hutan, oleh itu ianya tidak boleh dikeluarkan dari kawasan Hutan Simpan Kekal.

“Sebagai contoh, apabila timbul isu kecurian unsur nadir bumi (REE) di Hutan Simpan Bukit Enggang, penjelasan YAB Menteri Besar Kedah (Muhammad Sanusi Md Nor) semasa sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dilihat tidak menunjukkan kesungguhan hendak menangani isu tersebut.”

“Mengapa pihak berkuasa Negeri tidak mempersoal kepada dua agensi berkaitan iaitu Jabatan Perhutanan Negeri (agensi yang mengurus dan mempunyai bidang kuasa terhadap Hutan Simpan Kekal) dan Menteri Besar Inc (anak syarikat Kerajaan Negeri yang diberi Permit Penggunaan bagi menjalankan aktiviti dalam Hutan Simpan Bukit Enggang)?”

Katanya mustahil kedua-dua agensi tersebut langsung tidak mengetahui apa yang berlaku sedangkan ianya merupakan kawasan larangan bagi yang tidak berkenaan.

“Selain itu, perlombongan di Mukim Kenering, Perak, berdasarkan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) Cadangan Perlombongan Unsur Nadir Bumi di Perak pula adalah dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS Tahap 1) dan Koridor Rangkaian Ekologi yang telah dikenal pasti untuk pemuliharaan dan perlindungan.”

“Jadi, bagaimana operasi perlombongan boleh dijalankan sebelum mendapat kelulusan Laporan EIA kerana berdasarkan semakan ‘google map’ dan gambar dron didapati telah ada kerja-kerja tanah dan struktur loji hidrometalurgi di lokasi cadangan projek?”

Jelasnya, berdasarkan Rancangan Fizikal Negara (RFN), langkah pengurusan di KSAS Tahap 1 ialah tiada kegiatan pembangunan, pertanian dan pembalakan dibenarkan kecuali bagi tujuan pelancongan eko berimpak rendah, kegiatan penyelidikan dan pendidikan sahaja.

Kandungan laporan EIA cadangan perlombongan unsur nadir bumi di Negeri Perak tersebut jelas menyatakan kerja-kerja tanah projek akan memberi impak sama ada secara langsung mahupun tidak langsung kepada kemusnahan habitat hidupan liar termasuk hidupan akuatik dan potensi kehilangan spesies hidupan liar.

“Oleh itu, kami menggesa semua pihak berkuasa negeri agar mengambil tindakan menghenti dan tidak membenarkan lagi sebarang kegiatan yang berisiko impak seperti aktiviti perlombongan di kawasan Hutan Simpan Kekal dan kawasan sensitif alam sekitar.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: