Angkara Gelombang Haba, 20,000 Maut Di Eropah
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
LONDON, 27 November 2022 – Negara-negara di Eropah mencatatkan peningkatan kadar kematian sebanyak 20,000 mangsa akibat gelombang haba pada musim panas tahun ini.
Menurut saintis iklim dari Kumpulan Penyumbang Cuaca Dunia, suhu di Perancis, Jerman, Britain dan Sepanyol mencecah hampir 40 darjah Celsius atau lebih tinggi kali ini malah ia ‘hampir mustahil’ berlaku tanpa perubahan iklim.
Perancis melaporkan hampir separuh kematian melebihi jangkaan di Eropah Barat daripada 10,420 kematian yang dicatatkan, manakala Sepanyol merekodkan 4,655 kematian akibat gelombang haba di antara Jun dan Ogos.
Agensi kesihatan Jerman pula melaporkan 4,500 maut dan peningkatan kes kematian di England dan Wales adalah seramai 3,271 orang.
Berita tempatan melaporkan, keadaan ini mendorong banyak negara melaksanakan langkah seperti memastikan sekolah dilengkapi pendingin udara, sistem amaran awal dan meminta orang ramai memeriksa keadaan orang sekeliling.
Walaupun pelbagai tindakan diambil untuk mengatasi beberapa kesan gelombang haba, Chloe Brimicombe, seorang penyelidik gelombang haba di Universiti Graz berkata jumlah kematian masih tinggi daripada jangkaan.
“Saya melihat… ia adalah gelombang haba paling memberi kesan sejak 2003,” katanya.
Gelombang haba yang berlaku pada 2003 telah mengorbankan lebih 70,000 kematian di seluruh Eropah dan kebanyakan mangsa dicatatkan di Perancis.
Mengulas lanjut, Pertubuhan Meteorologi Sedunia melaporkan bahawa Eropah menghadapi cuaca panas melampau dua kali ganda lebih banyak daripada negara lain sepanjang tiga dekad lalu.
Lebih membimbangkan, musim panas tahun ini mencatatkan cuaca paling panas dalam rekod, ujar Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus.
Cuaca panas melampau berisiko mengakibatkan kematian terutamanya melalui strok haba yang boleh merosakkan otak, buah pinggang dan organ lain. Bukan itu sahaja, ia boleh mencetuskan masalah kesihatan lain seperti masalah pernafasan dan serangan jantung.