Antarabangsa

Tindakan Israel Melanggar Undang-Undang Kemanusiaan – Badan OIC

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

RIYADH, 12 Disember 2023 – Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menyifatkan tindakan tentera Israel yang memaksa orang awam di Semenanjung Gaza berpindah dalam keadaan tiada keperluan asas, jelas telah melanggar Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa.

Suruhanjaya Bebas Hak Asasi Manusia bagi Pertubuhan Kerjasama Islam berkata, selepas lebih dua bulan pencerobohan Israel di Gaza dan lebih 17,000 orang awam terkorban, masyarakat antarabangsa gagal dalam tanggungjawabnya untuk bertindak atas dakwaan jenayah perang yang dilakukan oleh tentera Israel.

Suruhanjaya itu menyuarakan kebimbangannya dan turut mengecam apa yang disifatkannya sebagai pilih kasih dalam menerapkan norma hak asasi manusia di seluruh dunia berikutan serangan Israel ke atas Semenanjung Gaza.

Ia turut menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan bagi mendesak agar gencatan senjata yang berkekalan dapat dilaksanakan dengan segera di kawasan konflik itu.

Suruhanjaya itu turut menyuarakan kebimbangannya mengenai pencabulan hak asasi manusia di seluruh dunia, ini termasuk keadaan yang semakin merosot bagi Muslim Rohingya di Myanmar, keganasan dan diskriminasi berterusan terhadap umat Islam di India dan penderitaan berterusan rakyat Palestin dan Kashmir di bawah rejim yang menindas.

Ia turut menyeru agar dihentikan budaya pilih kasih dalam penerapan layanan hak asasi manusia secara global. Suruhanjaya itu turut mengesahkan komitmennya untuk menggalakkan tadbir urus yang baik dan kedaulatan undang-undang demi menjaga kebebasan asasi.

Suruhanjaya itu juga menggesa negara anggota untuk menggunakan pendekatan inovatif berasaskan hak untuk menangani cabaran ekonomi, sosial dan budaya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: