Tempatan

Peningkatan Buaya: Sarawak Rancang Wujudkan Zon Bebas Buaya

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUCHING, 22 November 2023 – Sarawak merancang untuk mewujudkan zon bebas buaya dan santuari buaya bagi menguruskan jumlah reptilia yang semakin meningkat itu dan mengurangkan konflik dengan manusia.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Sarawak, Datuk Teh Talif Salleh berkata, jumlah buaya di negeri itu berdasarkan pemerhatian dianggarkan meningkat hampir dua kali ganda daripada 13,500 pada 2014 kepada hampir 25,000 pada tahun ini.

Memetik laporan, antara kawasan tumpuan bagi reptilia itu adalah Sungai Bako, Batang Lupar dan Batang Sadong di Sibuti.

Kata beliau, dengan menggunakan data tersebut pihaknya akan mengenal pasti kawasan mana yang sepatutnya menjadi zon bebas buaya dan santuari buaya.

“Jika buaya dilihat di kawasan tertentu yang ingin kami tetapkan sebagai zon bebas buaya, kami perlu mengeluarkannya dengan memusnahkan atau memindahkannya ke tempat perlindungan,” jelas beliau pada sidang media di Dewan Undangan Negeri Sarawak, semalam.

Tambah beliau, berikutan buaya merupakan reptilia yang sentiasa bergerak pihaknya akan memastikan santuari itu berada di kawasan terpencil yang mana antara kawasan yang dikenal pasti sebagai tapak yang mungkin untuk santuari buaya antaranya ialah Pulau Kera di Taman Negara Tanah Lembap Kuching, Pulau Seduku di Sri Aman dan satu kawasan dalam Taman Negara Bakau Rajang.

Dalam pada itu, aplikasi pemantauan kehadiran buaya secara ‘real time’ yang dibangunkan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) dengan kerjasama Sarawak Information Systems Sdn. Bhd. (SAINS) juga dijangka akan dilancarkan tahun depan.

Menerusi aplikasi tersebut, populasi buaya dapat dipantau secara berterusan selain mengenal pasti kawasan panas konflik manusia dan buaya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: