Tempatan

Tadika Swasta Seluruh Negara Kini ‘Nazak’ – Naib Pengerusi PERTIM

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELANGOR, 29 Ogos 2022 – Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) mendedahkan lebih separuh daripada 1,000 ahlinya kini sedang bergelut untuk meneruskan operasi tadika masing-masing ekoran berdepan situasi kekurangan murid selepas ramai ibu bapa kini menghantar anak ke tadika kerajaan yang lebih murah yuran berbanding swasta.

Menurut Naib Pengerusi PERTIM, Zaharah Awang, keadaan bertambah getir apabila kebanyakan pengusaha tadika swasta khususnya di bawah PERTIM yang tidak mendapat dana atau geran daripada kerajaan kini tidak mampu menampung kos operasi yang semakin meningkat terutama sewa bangunan dan gaji pekerja.

“Kami beroperasi sepenuhnya menggunakan dana sendiri serta yuran yang dikutip daripada murid. Dengan duit inilah kita belanja untuk makan, bayar gaji guru, sewa bangunan dan pelbagai kos lain yang semakin meningkat.”

Justeru, apabila kekurangan murid, ramai pengusaha yang tidak dapat bertahan dan ada yang terpaksa membuang pekerja, menutup sementara operasi, malah ada yang gulung tikar, kata Zaharah Awang yang juga memaklumkan tadika miliknya yang terletak di Sungai Udang, Klang juga mengalami kekurangan murid yang sangat ketara selepas negara dilanda pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

“Sebelum ini, tadika saya mempunyai lebih 70 murid, tetapi kini sekitar 45 orang sahaja dan ada kalanya ramai yang tidak pergi sekolah disebabkan penularan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD), influenza dan juga COVID-19 yang masih belum reda.”

Tambah beliau, kini ramai ibu bapa bergelut dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka mencari tadika yang lebih murah untuk anak-anak.

Zaharah Awang menjelaskan situasi tadika swasta berbeza dengan dengan tadika di bawah seliaan Kerajaan seperti Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Perpaduan kerana urusan gaji, makan minum dan sewa premis semuanya dibiayai Kerajaan.

Semalam, Kerajaan bersetuju menaikkan kadar elaun Pembantu Pemaju Masyarakat Sukarela (PPMS) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kepada RM800 sebulan berbanding RM500 sebelum ini.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berkata, kenaikan elaun itu membabitkan seramai 9,439 pembantu berkenaan selain Kerajaan juga bersetuju menaikkan kadar bantuan sara hidup ahli Persatuan Bekas Anggota KEMAS (PBKAM) daripada RM300 kepada RM500.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: