Taburan Hujan Tahun Sebelum Tidak Boleh Jadi Rujukan Berlaku Perubahan Iklim
KUALA LUMPUR, 30 November 2023 – Peningkatan jumlah hujan tahunan bagi tahun 2020 hingga 2022 tidak boleh dijadikan rujukan bagi menunjukkan berlakunya perubahan iklim, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah.
Menurutnya, belum ada kaedah saintifik yang boleh meramal secara tepat bencana banjir sama ada lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Ia kerana terdapat faktor-faktor lain seperti keragaman iklim, perbandaran dan topografi juga boleh mempengaruhi taburan hujan di Malaysia.
Namun begitu, Muhammad Helmi menegaskan jabatannya akan mengeluarkan amaran kepada orang ramai mengenai keadaan cuaca dalam tempoh tiga hari lebih awal berdasarkan pada ketumpatan hujan yang berlaku.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan sebanyak 8,481 pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi mengelakkan keadaan kelam kabut ketika bencana itu melanda.
“Persiapan dilakukan sekarang walaupun kawasan itu belum terkena kesan yang parah.”
“Persiapan dibuat untuk menempatkan 1.62 juta mangsa di lebih 5,000 sekolah, 2,400 dewan dan balai raya serta 389 pusat komuniti,” katanya ketika menjawab soalan dalam Dewan Rakyat.
Anwar juga menjelaskan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengenal pasti 5,648 lokasi panas banjir dan kerja penyelenggaraan dilaksanakan, termasuk bagi sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur, selain mengaktifkan bilik kawalan operasi, pusat amaran dan ramalan banjir yang beroperasi 24 jam.