Gaya Hidup

Tabiat Memandu Sewaktu Lampu Minyak Menyala Boleh Rosakkan Fuel Pump

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

Anda ada tabiat memandu dengan minyak yang kurang, sengaja tangguh untuk isi minyak sedangkan lampu minyak sudah menyala? Ini merupakan salah satu punca berlakunya kerosakan pam bahan api (fuel pump).

Ramai pemandu sering kali mengambil remeh kepentingan untuk memastikan kenderaan sentiasa ada petrol yang mencukupi semasa memandu, terus memandu meskipun lampu minyak sudah pun menyala sejak beberapa kilometer yang lepas.

Sepatutnya, pemandu haruslah sentiasa memastikan minyak dalam tangki kenderaan berada pada tahap yang ideal setiap masa, walaupun pemandu jarang menggunakan kenderaan tersebut mahupun meninggalkan kenderaan itu tanpa digunakan pada jangka masa berhari-hari.

Jika tidak, fuel pump akan mengalami kadar kerosakan dengan lebih cepat.

Apa fungsi fuel pump?

Fuel pump berfungsi untuk menghantar petrol dari tangki minyak ke bahagian enjin. Memandangkan fungsinya adalah untuk membekalkan bahan api ke enjin, masalah dengan fuel pump boleh memberikan kesan besar kepada keupayaan kereta.

Kerosakan fuel pump memerlukan kos yang tinggi untuk pembaikian, dan kebiasaannya mekanik mengesyorkan pemilik kenderaan untuk terus menukar fuel pump yang baru memandangkan pembaikian adalah rumit dan memerlukan kos yang tinggi.

Bagaimana untuk tahu fuel pump anda masih berfungsi dengan elok?

Fuel pump yang bermasalah biasanya akan menunjukkan simptom-simptom yang berikut:

1. Kereta tersentak sewaktu dipandu laju

Tanda paling utama bahawa fuel pump anda bermasalah ialah enjin anda tersentak-sentak sewaktu memandu dalam kelajuan tinggi. Masalah ini disebabkan enjin tidak menerima bekalan bahan api secukupnya untuk memecut, yang diterima hanyalah udara.

Gangguan sebegini menyebabkan enjin anda tersentak sewaktu dipandu laju.

2. Kereta semput mendaki bukit atau ketika membawa muatan berat

Sekiranya kereta anda hilang keupayaan ketika dibebankan dengan pendakian bukit atau membawa muatan berat, berkemungkinan fuel pump anda sudah terlalu lemah untuk membekalkan bahan api secukupnya kepada enjin.

3. Kereta telan banyak minyak

Jumlah minyak yang diisi sama sahaja, tapi jumlah kilometer kereta anda boleh pergi semakin berkurangan. Ini mungkin petanda fuel pump anda bermasalah. Jika anda terpaksa isi minyak lebih kerap dari biasa, sudah tiba masanya anda bawa kereta untuk diperiksa.

4. Enjin gagal dihidupkan

Jika anda abaikan tanda-tanda di atas, kebiasaannya fuel pump akan mengalami kerosakan yang lebih teruk sehingga enjin tidak dapat dihidupkan.

Anda hanya boleh mendengar bunyi ‘kcak, kcak’ dari percikan palam pencucuh (spark plug) tetapi enjin tidak boleh hidup kerana tiada bahan api yang dapat masuk untuk dibakar oleh percikan itu.

Waktu ini, tiada lagi cara lain yang boleh anda lakukan melainkan mendapatkan khidmat mekanik profesional untuk menukarkan fuel pump anda kepada yang baru.

Bagaimana untuk memanjangkan jangka hayat fuel pump anda?

Tukar penapis (filter) bahan bakar mengikut garis masa yang disyorkan oleh pengeluar. Penapis yang tersumbat memberi tekanan yang tidak stabil dalam sistem pembakaran bahan api.

Pastikan minyak petrol anda sentiasa berada pada tahap yang ideal dalam tangki kereta anda.

Petrol juga berfungsi sebagai penyejuk. Sekiranya minyak berada pada tahap yang rendah, ia secara tidak langsung membebankan fuel pump dengan haba tambahan yang boleh mempercepatkan berlakunya kerosakan.

Diharapkan penerangan di atas sedikit sebanyak memberi manfaat kepada para pengguna. Sehingga berjumpa lagi di siri yang lain.

Leave a Reply

Back to top button