Syarikat Teknologi Barat Sepakat Sekat Media Russia Kerana Peperangan Ukraine
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SAN FRANCISCO, 02 Mac 2022 – Syarikat teknologi gergasi seperti Facebook, TikTok dan Microsoft sepakat menyekat organisasi media Rusia bagi menghalang penyebaran berita palsu mengenai peperangan yang sedang berlaku di Ukraine.
Ketua Integriti Twitter, Yoel Roth berkata, platform itu mengesan lebih 45,000 ciapan setiap hari berkaitan media Rusia.
“Twitter juga akan mengurangkan perkongsian maklumat mengenai peperangan di Ukraine bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk,” tambah Yoel Roth.
Meta pula akan mengehadkan akses penduduk di Kesatuan Eropah (EU) terhadap media Rusia termasuk RT atau Russia Today dan Sputnik.
Ini kerana kedua-dua organisasi media itu dilabel sebagai lidah rasmi Kremlin dan platform yang ‘menggalakkan dan mencetuskan peperangan’.
Jabatan Negara Amerika Syarikat juga menyatakan RT dan Sputnik tidak telus dalam menyalurkan maklumat mengenai Rusia.
Terdahulu, Kerajaan Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah, dalam sebuah kenyataan bersama menyatakan bahawa mereka akan mula mengehadkan ‘penjualan’ kerakyatan kepada bangsawan Rusia, sebagai tanda tentangan terhadap penaklukan Ukraine.
Kenyataan tersebut adalah tindak balas daripada Kesatuan Eropah, Perancis, Jerman, Itali, United Kingdom, Kanada dan AS terhadap tindakan Rusia melancarkan penaklukan besar-besaran ke atas Ukraine.