Antarabangsa

Syarikat Media Sosial Gagal Bertindak Ke Atas Siaran Kandungan Islamofobia – CCDH

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

NEW YORK, 07 Mei 2022 – Syarikat-syarikat media sosial ternama gagal bertindak ke atas 89 peratus siaran yang mengandungi elemen kebencian terhadap Islam dan kandungan Islamofobia yang dilaporkan menerusi platform mereka, lapor Agensi Anadolu.

Menurut Pusat Membendung Kebencian Digital (CCDH), laporan itu mendedahkan syarikat media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok, Twitter, dan YouTube, gagal mengambil sebarang tindakan ke atas 89% siaran yang mengandungi kebencian anti-Islam dan kandungan Islamofobia yang telah dilaporkan.

CCDH mendakwa Instagram, TikTok dan Twitter telah memberi kebenaran kepada pengguna untuk menggunakan hashtag seperti #deathtoislam, #islamiscancer dan #ragheadi. Kandungan yang tersebar menggunakan tanda pagar itu berjaya menerima sekurang-kurangnya 1.3 juta reaksi.

Berdasarkan laporan yang disediakan penyelidik CCDH, kandungan sedemikian akan terus membahayakan komuniti dengan memacu perpecahan sosial, menormalkan tingkah laku kesat serta menggalakkan serangan dan penyalahgunaan di luar talian.

Gergasi media sosial berkata, Meta, Twitter dan Google dalam satu kenyataan bersama pada tahun 2019, komited menyokong seruan Christchurch untuk menghapuskan kandungan dalam talian yang mempunyai unsur pengganas dan pelampau.

“Komitmen mereka untuk memastikan semua langkah yang perlu dilakukan bagi memerangi kebencian dan ekstremisme yang membawa kepada kegiatan pengganas.” Namun, menurut laporan itu, ia sekali lagi hanyalah satu kenyataan akhbar yang terbukti tidak lebih daripada janji kosong.

Penyelidik CCDH telah membuat laporan terhadap 530 siaran yang mengandungi kandungan berunsur mengganggu, taksub dan tidak berperikemanusiaan serta menyasarkan umat Islam melalui karikatur perkauman, konspirasi dan dakwaan palsu.

Malangnya, masih tiada sebarang tindakan yang diambil terhadap kandungan kurang sesuai dan mudah dikenal pasti tersebut.

Leave a Reply

Back to top button