Antarabangsa

Sweden Perlu Hormat Kepercayaan Agama Orang Islam – China

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CHINA, 25 April 2022 – “Kami harap Sweden dapat menghormati kepercayaan agama kumpulan minoriti termasuk Muslim,” kata jurucakap Kementerian Luar Negeri China, Wang Wenbin baru-baru ini.

Wang mengeluarkan kenyataan berkenaan berikutan insiden pembakaran kitab suci Al-Quran yang dilakukan seorang ahli politik Sweden, Rasmus Paludan.

Insiden tersebut telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia apabila Paludan memaklumkan menerusi Facebooknya bahawa dia berniat membakar Al-Quran di setiap perhimpunan politiknya di negara tersebut.

“Kebebasan bersuara bukan alasan untuk menghasut diskriminasi kaum atau budaya dan memecahbelahkan masyarakat,” ulas Wang mengenai isu berkenaan.

Tambahnya, Sweden harus mengambil iktibar daripada insiden itu dan melindungi hak dan kepentingan Muslim serta kumpulan minoriti lain. Mereka juga harus bertindak melindungi dan menghormati kebebasan beragama.

Meskipun China berkata sedemikian kepada Sweden, portal Breitbart membangkitkan kembali isu genosid kerajaan negara itu terhadap masyarakat Uyghur Muslim di Xinjiang yang dipaksa meninggalkan agama mereka dan sebaliknya menyembah komunisme sepanjang sedekad lalu.

Menurut Breitbart, masyarakat Uyghur Muslim diawasi sistem berteknologi tinggi dan jutaan mereka telah dimasukkan ke dalam kem tahanan. Mereka diseksa secara fizikal dan psikologi untuk menghapuskan kepercayaan agama mereka yang dikatakan merbahaya.

Selain itu, tahanan Uyghur juga dipaksa makan daging babi dan minum minuman beralkohol yang jelas dilarang Islam.

Mereka yang terselamat daripada kem tersebut memberi keterangan bahawa objektif utama kem itu adalah bagi ‘menyahprogramkan’ masyarakat Uyghur daripada agama mereka serta menjadikan mereka komunis yang taat.

Kebocoran dokumen kerajaan China pada tahun 2019 telah mengesahkan tindakan kejam ini. Namun, terdapat sesetengah pegawai mereka mencari peluang menghina negara lain sebagai tidak bertoleransi atau Islamofobia untuk mengalihkan perhatian daripada isu genosid yang berlaku di Xinjiang.

Leave a Reply

Back to top button