Sweden Mungkin Buat Tawaran Baharu, Galak Imigran Keluar
AHAD, 18 OGOS 2024 – Sweden berkemungkinan bakal meluaskan lagi skop sebuah program, di mana warganegara yang baru didaftarkan di negara tersebut yang mengalami kesukaran untuk berintegrasi ke dalam masyarakat Sweden akan digalakkan untuk pulang ke negara asal mereka.
Perkara tersebut telah dinyatakan menerusi sebuah cadangan yang telah dihantar kepada Menteri Imigrasi, Maria Malmer Stenergard.
Skim yang dipanggil sebagai “voluntary repatriation” itu kini sedang berlangsung, di mana Sweden memberi tawaran terhadap para pelarian serta pendatang dengan bayaran sebanyak 10,000 krona kepada golongan dewasa dan 5,000 bagi kanak-kanak, dengan tambahan kos perjalanan jika mereka bersetuju untuk keluar dari negara tersebut.
Namun kini, pihak berkuasa Sweden telah membuat saranan untuk meluaskan lagi program tersebut dengan tambahan golongan warganegara Sweden yang telah lama berada di negara tersebut, serta ahli keluarga mereka.
Laporan yang telah dihantar pada minggu lalu itu turut mencadangkan tentang syarat pembayaran semula bagi mereka yang telah menerima wang yang ditawarkan namun tidak keluar dari negara tersebut.
Pada masa yang sama juga, cadangan untuk menambahkan lagi jumlah wang yang ditawarkan telah ditolak berikutan kebimbangan bahawa tindakan tersebut berkemungkinan dapat memberi “isyarat yang salah” kepada para pendatang.
Populasi kelahiran asing Sweden telah meningkat sebanyak sekali ganda pada dua dekad yang lalu. Namun setelah menerima jumlah pendatang yang tingi pada tahun 2015, Stolkholm telah mengenakan pula sekatan yang menjadikan polisi imigran negara tersebut adalah yang terketat di seluruh Eropah.