Susu Babi Berpotensi Jadi Minuman Manusia – Pengkaji China
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHANGHAI, 06 Ogos 2022 – Penyelidikan para pengkaji China ini dikatakan berpotensi untuk mengurangkan pergantungan manusia pada produk tenusu lembu memandangkan kajian mereka mendapati susu babi mempunyai khasiat yang amat tinggi.
“Susu babi mendapat perhatian kebelakangan ini, dan kami sedang membuat kajian mengenainya,” kata Dr Tan Yong Song, ketua penyelidik Institut Penternakan dan Veterinar Haiwan, Akademi Sains Pertanian Shanghai.
Kajian awal pasukan beliau mendapati susu babi berpotensi untuk digunakan sebagai minuman harian pada masa akan datang.
Susu babi berwarna putih dan agak serupa dengan susu lembu dan susu kambing, selain mempunyai beberapa kandungan khasiat yang menyamai dan ada yang lebih baik daripada susu haiwan-haiwan itu, menurutnya lagi.
Tidak banyak kajian yang pernah dibuat mengenai susu babi sebelum ini, dan tiada lagi pakar babi China yang pernah mengadakan kajian secara menyeluruh mengenai susu babi setakat ini, menurut beliau.
“Penyelidikan mengenai susu babi baru sahaja bermula, dan kajian akan mengambil waktu yang agak lama,” kata Dr Tan.
“Tujuan kajian kami adalah untuk memberi manfaat bagi kehidupan rakyat, dan memenuhi keperluan kumpulan-kumpulan pengguna yang lain.”