Tempatan

Suspek Hina Islam Positif Dadah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 21 Julai 2022 – “Kami juga syak lelaki ini mengalami gangguan mental akibat ketagihan dadah. Semasa ditahan, ujian saringan urine mendapati dia positif dadah methamphetamine,” lapor Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa mengenai seorang suspek berusia 59 tahun yang direman selama empat hari kerana menghina agama Islam melalui rakaman suara di aplikasi Whatsapp.

Perintah reman yang bermula semalam sehingga 23 Julai (Sabtu) itu dikeluarkan oleh Majistret Nordiana Abd Aziz di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu dan ia membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Siasatan awal mendapati audio tersebut telah dibuat pada tahun lepas, yang mengandungi kata-kata maki hamun termasuk menghina agama Islam, namun seorang pengadu baru membuat laporan mengenainya pada 19 Julai.”

“Mungkin laporan dibuat sekarang berikutan trend kes menghina agama Islam yang banyak dilaporkan pada masa ini,” jelas Datuk Rohaimi yang turut memaklumkan bahawa suspek didapati memiliki enam rekod lampau membabitkan kes dadah, mencederakan orang serta ugutan terhadap ahli keluarga dan dia telah dihadapkan ke mahkamah tahun lepas.

Oleh kerana tindakan menghina agama seperti ini boleh menjejaskan keharmonian dalam negara, Rohaimi memaklumkan pihaknya memandang serius dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat.

“Jangan sesekali jadikan agama sebagai bahan jenaka kerana ia boleh menyebabkan perpecahan dalam masyarakat,” ujar beliau.

Leave a Reply

Back to top button