Tempatan

Suratan Takdir: Jurulatih Penerbangan Terkorban Pesawat Terhempas Seperti Arwah Ayah

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

IPOH, 02 Ogos 2022 – Seorang jurulatih penerbangan maut selepas pesawat ringan yang dinaiki mereka terhempas di Jalan Sultan Nazrin Shah berhampiran Medan Gopeng malam tadi. Mangsa yang dikenali sebagai Allahyarham Leftenan Kolonel (B) Fajim Juffa Mustafa Kamal, 52 tahun disahkan meninggal dunia manakala rakannya, Muhammad Din Fikri Zainal Abidin, 62 dilaporkan selamat tetapi mengalami cedera parah dan dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Ketibaan waris terdekat Allahyarham dari Semenyih, Selangor menaiki sebuah kereta dipandu anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kira-kira jam 1.25 pagi tadi disambut lebih kurang 20 individu yang terdiri dari saudara-mara serta kenalan rapat di perkarangan Jabatan Forensik HRPB.

Ibu saudara kepada Allahyarham yang enggan dikenali, 54, ketika ditemui berkata, Allahyarham disifatkan sebagai seorang sangat mesra, ceria tetapi dalam pada masa sama juga memiliki sifat kepribadian yang tegas.

“Emak arwah yang juga kakak sulung saya, tidak begitu menggalakkan minat arwah disebabkan risau memandangkan ayah kandung arwah juga terkorban dalam nahas membabitkan pesawat iaitu tragedi helikopter Nuri di Muara Sungai Lundu, Sarawak pada tahun 1989.

“Arwah Fajim juga pernah dilaporkan media sebelum ini hilang selama beberapa hari akibat tersangkut di atas pokok selepas pesawat MiG-29 dipandunya pada November 2004 terhempas,” kongsi beliau.

Walau bagaimanapun, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan bahawa pihaknya menerima maklumat kejadian itu sekitar pukul 8 malam membabitkan pesawat jenis PIPER 28 dan difahamkan pesawat tersebut berlepas dari Bats Aviation Sdn. Bhd. (BATS).

“Pasukan bomba yang tiba di tempat kejadian membawa keluar mangsa pertama pada pukul 9.25 malam manakala mangsa yang maut pula dikeluarkan 10 minit kemudian.”

“Polis telah memaklumkan kejadian itu kepada keluarga kedua-dua mangsa yang berasal dari Semenyih, Selangor dan Bukti Damansara, Kuala Lumpur,” ujar beliau.

Tambah beliau, siasatan lanjut akan dijalankan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) bagi mengenal pasti punca kejadian

Leave a Reply

Back to top button