Surah Yunus Ayat 99 Adalah Tentang Iktikad, Bukan Syariat – Datuk Zainul Rijal
KUALA LUMPUR – “Pertama, Puan Siti Kasim quote daripada Surah Yunus. Surah Yunus tu jelas tentang seseorang itu tidak boleh menjamin seseorang yang lain beriman. Tidak boleh memberi keimanan even seorang ayah pun tidak boleh mewarisi keimanannya kepada anak-anaknya. Itu jelas di dalam surah Yunus.”
Di atas merupakan jawapan Datuk Zainul Rijal Abu Bakar kepada Siti Kasim dalam sesi siaran langsung anekdot “Mahkamah Syariah Teruji” anjuran Dialektika TV minggu lepas.
Tegas Datuk Zainul Rijal, Surah Yunus menceritakan tentang iktikad. Iaitu pegangan. Bukannya amalan ataupun syariat.
“Puan Siti kena faham apa itu akidah, apa itu amalan, apa itu syariat, apa itu ihsan. Di dalam Surah Yunus ini bercakap tentang akidah. Iktikad. Pegangan. Bukan tentang amalan, bukan tentang syariat.”
Memetik hadis ke-34 dalam Hadis 40 Imam Nawawi, Presiden Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) itu berkata, “Di dalam hadis ada mengatakan dengan jelas mengatakan:“Man ra’a minkum munkaran fal-yughayyirhu biyadihi, fainlam yas-tathi’ fa bi lisaanih, fainlam yas-tathi’ fabi qalbihi wazaalika adh-‘aful imaan”.”
“Siapa yang melihat kepada suatu kemungkaran, dia mesti mengubahnya dengan tangannya. Dengan kuasanya. Kalau dia tidak mampu mengubahnya dengan lidahnya, lisannya. Ataupun dengan hati. Mengubah sesuatu kemungkaran itu dengan hati adalah selemah-lemah iman”.
“Inilah yang ada di dalam enakmen kesalahan jenayah kita, menggunakan kekuasaan untuk melaksanakan agama Islam itu sendiri,” ujarnya mengakhiri penjelasan.