Tempatan

Kebudayaan Melayu Telah Wujud Di Rantau Alam Melayu Berabad-Abad – Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Januari 2023 – Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) telah dirumuskan pada tahun 1971 dalam Kongres Kebudayaan Kebangsaan. Tiga asas ditetapkan. Pertama “kebudayaan asal rantau ini” yang merujuk kepada kebudayaan Melayu yang telah wujud di rantau alam Melayu berabad-abad.

Kedua, “unsur kebudayaan lain yang wajar dan sesuai”, berkaitan dengan keterbukaan DKK menerima unsur kebudayaan kaum-kaum lain dan kebudayaan luar seperti kebudayaan Barat. Ketiga, “Islam unsur terpenting”, selaras dengan Islam sebagai agama Persekutuan dan agama utama di rantau alam Melayu, termasuk Malaysia.

Begitu pandangan yang dikongsikan Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) Profesor Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkenaan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang dilihat kurang berkesan.

Dr Awang Sariyan juga berkata, ada beberapa faktor yang menyebabkan perkara itu berlaku. Pertama, seperti yang diakui oleh Kerajaan apabila mengemukakan versi baharu DKK, iaitu Dasar Kebudayaan Nasional (DAKEN), sesudah DKK dirumuskan, tiada susulan peruntukan undang-undang dalam bentuk Akta, sebagaimana Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Jelasnya, untuk Dasar Ekonomi Baharu, ada Rancangan Lima Tahun untuk mengisi dasar itu. Jelas, dengan adanya Akta Bahasa Kebangsaan, selain Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan pun masih tetap timbul isu pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan yang kurang memuaskan. Demikian juga halnya dengan bidang pendidikan yang ada Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.

“Kedua, program pelaksanaan DKK tidak kekal sebagai program yang mantap dan berterusan. Pengisian DKK lebih tampak sebagai percampuran unsur-unsur kebudayaan pelbagai kaum seadanya, tanpa perancangan, kawalan dan penilaian berdasarkan tiga asas DKK yang saya sebut tadi,” katanya.

Tambah beliau, pernah satu ketika Kementerian Kebudayaan mengeluarkan garis panduan pelaksanaan DKK tetapi yang terlaksana ialah pengisian ala kadar, asalkan ada unsur kaum-kaum yang mewakili rakyat majmuk negara.

Apabila Pelancongan Lebih Diutamakan Daripada Kebudayaan

Ketiga, DKK tidak merentas kementerian dan jabatan, apatah lagi badan swasta. Pelaksanaan DKK yang ala kadar itu lebih merupakan pengisian oleh kementerian yang berkaitan dengan kebudayaan, dengan beberapa nama yang berubah-ubah. Yang mutakhir, apabila pelancongan lebih utama daripada kebudayaan,”ujarnya.

Selain, penekanan lebih kepada program untuk memenuhi sektor pelancongan, walhal DKK jauh lebih luas daripada seni persembahan.

Menurut beliau, perihal tidak merentasnya DKK jelas apabila kita menilai program kementerian yang berkaitan dengan komunikasi, juga nama kementerian berubah-ubah.

Sepatutnya, kementerian itu menjadi antara kementerian terpenting dalam pemasyarakatan DKK melalui program radio dan tv (kini bertambah dengan media sosial, platform dan sebagainya).

Jelasnya lagi, jika kita menilai program kementerian berkenaan, katakan dalam satu minggu, nescaya tidak dapat kita lihat tiga asas DKK itu dipenuhi.

“Mentaliti pemetakan bidang masih meluas di negara kita. Pendekatan bersepadu masih jauh daripada memuaskan,” tegasnya.

Persoalannya sekarang, apakah langkah tuntas yang segera boleh diambil pihak berwajib supaya penyatuan dan perpaduan semua rakyat tidak memburuk?

Menurut Dr Awang Sariyan pertama, ada keperluan Kerajaan menggubal peruntukan undang-undang untuk pelaksanaan DKK atau DAKEN, bukan untuk menghukum, tetapi untuk menjadi asas pelaksanaan yang jelas, terancang dan dapat diukur.

Kedua, DKK perlu dijadikan benar-benar dasar negara, bukan seolah-olah dasar sebuah kementerian.

Tambah beliau, Kementerian yang berkaitan dengan komunikasi, pendidikan dan lain-lain mesti dilibatkan dalam pelaksanaan DKK.

“Untuk Kementerian Luar, usaha awal memperkenalkan Dasar Diplomasi Budaya pada hujung 2021 wajar dilaksanakan agar negara luar tahu tentang rupa bentuk kebudayaan negara kita,” katanya.

Sekali lagi beliau menegaskan, dasar yang baik perlu terus diisi walaupun berlaku peralihan kepemimpinan. Kurangkan keghairahan untuk memperkenalkan hal-hal baharu dan mengabaikan dasar dan program yang penting.

Ketiga, sebagaimana dalam pengisian dasar-dasar negara yang lain ada pelan dan program, maka untuk DKK perlu ada pelan strategik lima tahun,” ujarnya mengakhiri kenyataan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: