Tempatan

Sultan Pahang Titah Isu Trafik, Kawasan Pembangunan Di Cameron Highlands Diberi Lebih Perhatian

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

CAMERON HIGHLANDS, 11 Jun 2024 – Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar masalah trafik sesak dan status pembangunan di Cameron Highlands diberi perhatian sewajarnya.

Menurut Kebawah Duli Paduka Baginda, ia penting kerana kawasan tanah tinggi ini sentiasa menjadi tumpuan jutaan pelancong dari dalam dan luar negara saban tahun yang mahu menikmati keistimewaannya.

“Saya berada di sini (lawatan kerja) untuk melihat keadaan sekeliling. Saya dapati tempat ini cantik dan sejuk, tetapi sayangnya trafik terlalu sibuk. Kita harap dapat usaha lagi untuk menambah bilangan jalan dan membesarkan jalan malah trafik juga perlu dikawal (pihak berkuasa) dengan baik.”

Tambah tuanku, pembangunan juga perlu dikawal, tidak boleh sewenang-wenangnya memotong bukit atau lereng bukit.

“Masalah air dan elektrik setiap rakyat di kawasan ini juga perlu diambil kira dan kita perlu ambil kaedah mana sekalipun untuk menangani isu ini.”

“Begitu juga dengan alam semula jadi, pagi tadi saya berkesempatan pergi ke Parit Falls (Taman Eco Rimba Parit Falls). Saya ingin meminta pihak kerajaan mencari kaedah baru untuk menjaga warisan khazanah itu. Ini adalah salah satu usaha penting dan perlu dilaksanakan,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat bercemar duli ke Majlis Pengurniaan Hadiah 26th Cameron Highlands Amateur Open Golf Championship 2024 di Kelab Golf Sultan Ahmad Shah, semalam.

Berangkat sama, Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj.

Baginda berada di Cameron Highlands selama lima hari sejak Jumaat lalu bagi lawatan kerja di sekitar daerah berkenaan selain bertemu langsung dengan rakyat.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: