Tempatan

Sultan Pahang Tarik Balik Gelaran Datuk Seri Nicky

Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini

KUALA LUMPUR, 26 April 2021 – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan Anugerah Darjah Kebesaran Negeri Pahang kepada pengasas Winner Dynasty Group, Nicky Liow ditarik balik dan dibatalkan serta-merta, lapor sebuah portal tempatan.

Selain Nicky, Darjah Kebesaran Negeri Pahang yang membawa gelaran “Datuk”, kepada seorang lagi individu, iaitu adiknya, Liow Wei Loon, turut dibatalkan.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang merangkap Pendaftar Darjah, Datuk Seri Sallehuddin Ishak, penarikan Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Liow Soon Hee dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk kepada Liow Wei Loon, berkuat kuasa daripada 21 April 2021 melalui satu kenyataan yang dikeluarkan pada 26 April 2021.

Nicky Liow Soon Hee yang disyaki terlibat dengan aktiviti jenayah terancang antarabangsa dan pengubahan wang haram masih dalam buruan polis.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan ‘notis merah’ terhadap pengasas Winner Dynasty Group pada 20 April lalu.

Pengeluaran notis itu susulan permohonan yang dibuat polis Malaysia sebelum ini, bagi mengesan dan menangkap Liow.

Leave a Reply

Related Articles

Back to top button