Tempatan

Kes Rasuah Presiden MUDA, Mahkamah Tetapkan 6 Oktober Untuk Penyerahan Lisan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 28 September 2022- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 6 dan 7 Oktober ini untuk kes rasuah Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berdepan empat tuduhan, termasuk pecah amanah dana berjumlah RM1 juta.

Semalam, pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan Syed Saddiq selesai mengemukakan kes selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan, lapor sebuah portal tempatan.

Pendakwaan juga menawarkan 13 saksi kepada pembelaan termasuk dua pegawai forensik SPRM, Moses anak Lawrence dan Wan Zulkifli Wan Jusoh serta rakan Syed Saddiq, Mohamed Amshar Aziz, Nurali Nadzwan dan Muhammad Suhaimi Yahya.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya menutup kes selepas tiga pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Mohd Syahmeizy Sulong, Nurul Hidayah Kamarudin dan Asbi Munip yang dipanggil semula untuk disoal balas pasukan pembelaan selesai memberi keterangan.

Selain Wan Shaharuddin, pendakwaan diwakili Mohd ‘Afif Ali, manakala peguam, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar mewakili Ahli Parlimen Muar yang juga merupakan Presiden Parti MUDA itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri, iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, di antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Presiden MUDA itu berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, hasil daripada aktiviti haram.

Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: