Suhu Sehingga 72 Darjah Celcius, Jemaah Haji Diingatkan Berwaspada
MAKKAH, 15 Jun 2024 – Jemaah haji diingatkan supaya berwaspada dengan suhu permukaan di kawasan berbukit di Tanah Suci yang boleh mencecah sehingga 72 darjah celcius pada musim ini.
Kementerian Kesihatan Arab Saudi memberi amaran bahawa pendedahan kepada cahaya matahari untuk jangka masa lama mengundang risiko besar terhadap kesihatan para jemaah.
Ibadah haji tahun ini dilaksanakan dalam keadaan suhu tinggi di Makkah, sekali gus menjadi halangan terbesar buat jemaah.
Sehubungan itu, kementerian menggesa jemaah supaya sentiasa menggunakan payung bagi mengurangkan pendedahan langsung kepada matahari, dan minum air secukupnya sepanjang hari walaupun tidak berasa dahaga.
Pihak kementerian turut menggesa jemaah haji agar mematuhi semua arahan dan nasihat kesihatan, malah mengelakkan keluar dan terdedah terus kepada cahaya matahari atau berjalan pada waktu puncak dari jam 11 pagi hingga 3 petang.