Tempatan

SUHAKAM Wajar Amalkan Konsep Transparensi, Kekang Dan Elak Sebaran Ideologi Luar – Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – “Semua pihak bersetuju bahawa Gerakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) perlu diamalkan dengan konsep transparensi demi memastikan usaha melalui pendidikan dan penyelidikan dapat diketahui.”

“Ia juga untuk mengekang sebaran dan cubaan menyusup masuk perkara-perkara luar yang tidak selari dengan norma tempatan khusus melalui pendidikan.”

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Muhamad Hisham Bin Marzuki berkata demikian bagi menjawab persoalan mengenai sebarang bentuk penerimaan dana dari kuasa asing mestilah dihentikan segera. Hal ini kerana, perkara berkenaan jelas bertentang dengan Seksyen 19 (2) Akta SUHAKAM.

Maka, sudah pasti penerimaan dana asing dari pentadbiran yang lepas hendaklah diumumkan dan didedahkan serta dipertanggungjawabkan secara telus dan tulus oleh pihak yang menguruskannya.

Bagaimanapun ujar beliau, kini perjalanan SUHAKAM bagi sesi 2022-2025 dilihat lebih baik kerana memberi peluang kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam untuk bersama dalam libat urus berkaitan isu Hak Asasi Manusia (HAM) di Malaysia dan tidak dipandang sepi seperti sebelum ini kerana hanya dimonopoli oleh golongan tertentu dan sebahagian pihak sahaja.

Maka, sudah tentu perjalanan SUHAKAM dengan barisan Pesuruhjaya baru yang dilantik sejak setahun lalu, lebih baik dari sebelumnya. Lebih banyak sesi libat urus dengan NGO Islam dilakukan secara telus dan transparensi.

Muhamad Hisham turut membenarkan bahawa HAM yang diperjuangkan oleh SUHAKAM, mesti mengikut acuan tempatan, terikat dengan Akta SUHAKAM yang tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Jelas beliau, perkara ini telah pun termaktub di dalam Akta SUHAKAM sendiri namun sebelum ini jika dilihat secara praktis ianya tidak diambil berat malah kebanyakan isu yang menjadi keutamaan adalah tidak relevan di Malaysia kerana lebih kepada berkiblatkan ideologi dari barat.

Justeru, perlulah dihentikan segera sebarang usaha dari pihak yang tidak bertanggungjawab bagi menggagalkan fungsi sebenar SUHAKAM untuk mengikut garis panduan Perlembagaan Negara termasuk menyekat sebarang bentuk tekanan kepada SUHAKAM untuk tidak berfungsi mengikut acuan HAM tempatan.

Tambah beliau, jika perkara sedemikian tidak dikawal selia dan terus dibiarkan maka, golongan liberal ini akan terus menjadikan SUHAKAM sebagai alat mempromosi agenda mereka sekali gus menggunakan SUHAKAM untuk memberikan naratif HAM yang tidak tepat mengikut norma tempatan dan asal negara yang sepatutnya berpaksikan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: