Tempatan

SUHAKAM Tidak Boleh Bertentangan Dengan Perlembagaan Persekutuan – Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 20 Jun 2023 – “Seksyen 4(4) Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999 menjelaskan bagi maksud akta tersebut, perhatian hendaklah diberikan kepada Pengisytiharan Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 setakat yang perisytiharan itu tidak tak selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.”

Oleh itu, SUHAKAM yang menganuti Perisytiharan tersebut hendaklah setakat apa yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan sahaja. Pengisytiharan Sejagat tersebut tidaklah boleh bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” tegas mantan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar.

Maka, jelas di sini HAM yang diperjuangkan oleh SUHAKAM, mesti mengikut acuan tempatan dan terikat dengan Akta SUHAKAM yang tidak boleh bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

Justeru, perlu dihentikan segera sebarang usaha untuk menggagalkan fungsi SUHAKAM dan apa jua tekanan kepada SUHAKAM untuk tidak mengikut acuan HAM tempatan.

Menurut Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar, segala badan organisasi jabatan dan sebagainya di dalam Malaysia hendaklah tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan. Ia mesti mengikut acuan watan yang menitikberatkan budaya moral dan agama.

Perlembagaan Cuma Menyebut ‘Fundamental Liberties’ Bukan Human Rights

Tambah beliau, selain itu, perlu juga diberikan perhatian bahawa frasa ‘Hak Asasi Manusia’ tidak ada disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, apa yang disebut di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah ‘fundamental liberties’ bukan human rights.

Jelasnya, fundamental liberties atau kebebasan asasi berbeza dengan hak asasi manusia. Kebebasan asasi hendaklah ‘bersulamkan tenunan tempatan dan dipakai molek, sejuk mata memandang’. Bukan mengimport idea luar yang tidak sesuai dan asing dari norma lazim tempatan.

Maka, sebarang bentuk penerimaan dana dari kuasa asing, mestilah dihentikan. Ia bertentangan dengan Seksyen 19 (2) Akta SUHAKAM. Penerimaan dana asing dari pentadbiran yang lepas hendaklah diumumkan dan didedahkan serta dipertanggungjawabkan.
Tambah beliau, dana asing apabila diberikan kepada mana-mana badan atau organisasi mungkin bukan sekadar pemberian.

“Kita khuatir di dalam setiap pemberian itu ada arahan perjanjian atau persefahaman yang mungkin dimeterai.”

“Apabila ia berlaku mungkin entiti berkenaan tidak lagi bebas tetapi terpaksa mengikut telunjuk pihak tertentu,” ujarnya.

Oleh itu, adalah wajar penerimaan dana asing ini diumumkan jumlah yang diterima, tujuan apa dan apakah syarat atau keberhasilan yang diinginkan daripada pemberian dana tersebut.

“Bagaimanapun, badan atau entiti yang menerima dana asing ini mesti telus, bertanggungjawab dan bebas dalam melakukan aktiviti bukan mengikuti arahan pemberi dana,” katanya.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: